Berita

Keputusan Apandi bebaskan Najib dikecam masyarakat antarabangsa

KUALA LUMPUR 27 JAN: Reputasi Malaysia terjejas berikutan masyarakat antarabangsa mempersoal kredibiliti kenyataan Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang membebaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dari skandal wang RM2.6 bilion.

Ia ekoran pelbagai persoalan tidak dijawab berhubung skandal itu termasuk kesahihan sama ada wang itu diderma, alasan derma dan mengapa kerajaan mengambil masa bertahun-tahun untuk menerangkan RM2.03 bilion sudah dikembalikan pada 2013.

Wall Street Journal (WSJ) melapor ada keraguan berhubung kesahihan kenyataan wang itu diderma keluarga diraja Arab Saudi kerana seorang pegawai kerajaan Arab Saudi menyatakan mereka tiada maklumat mengenai derma itu.

Wakil keluarga diraja Arab Saudi yang dipetik media itu tidak dapat dihubungi bagi mensahihkan kenyataan Apandi itu manakala pengkritik Najib mengatakan perkara itu tidak masuk akal kerana tidak logik wang sebanyak itu boleh diderma ke akaun peribadi.

Penganalisis politik, Fahad Nazer yang pernah bekerja di Kedutaan Saudi, berkata pelakuan keluarga diraja Arab Saudi menderma berjuta USD kepada Najib mencurigakan kerana ia dimasukkan ke akaun seorang pemimpin negara asing dan bukannya institusi kerajaan.

Financial Times (FT) pula melapor pemerhati dalam kerajaan Arab Saudi berkata tiada bukti menunjukkan dana itu datang dari Arab Saudi, malah memeranjatkan jika USD680 juta berbentuk sumbangan peribadi ada diderma kepada Najib.

Memetik laporan itu, wang berkenaan sebelum ini, dikatakan dihantar ke Malaysia oleh syarikat British Virgin Islands melalui akaun Singapura dan bank Swiss, sekaligus menambah kecurigaan skandal itu.

Pegawai kanan Goldman Sachs, Tim Leissner, penggerak di sebalik perjanjian dan aktiviti pelaburan dana kerajaan Malaysia yang kian bermasalah juga dilapor mengambil ‘cuti peribadi’ dan kembali ke Amerika Syarikat, lapor media itu.

Mengikut BBC pula, banyak persoalan timbul mengenai derma itu kerana ia terlalu dirahsiakan dan banyak diputar belit walaupun ada sumber dari Arab Saudi mengatakan wang itu diderma Raja Abdullah yang meninggal dunia bagi membantu Najib dalam kempen pilihan raya.

Seorang penyiasat korporat British berpengalaman di Timur Tengah berkata alasan Apandi tidak kukuh kerana tiada bukti terperinci dan berpendapat Saudi dan Malaysia perlu mendedahkan butiran transaksi kepada umum bagi menyelesaikan kes berkenaan.

Skandal kewangan Najib itu menggoyahkan keyakinan pelabur ke Malaysia kerana faktor politik antara elemen terpenting bagi pelaburan asing dan menyebabkan keadaan ekonomi negara kian parah, lapor Bloomberg pula.

Media itu juga melapor, seorang profesor di Universiti Malaya, Terence Gomez berkata negara kini berdepan isu krisis keyakinan dalam ekonomi memandangkan Perdana Menteri dihujani pelbagai skandal dan tahap ketelusan dan integritinya diragui seluruh dunia. -Roketkini.com