Berita

DAP terus desak tubuh Jawatankuasa Khas TPPA

KUALA LUMPUR 28 JAN: Sekalipun undian usul Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) berpihak kepada kerajaan Persekutuan semalam, Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming terus mendesak supaya Jawatankuasa Khas TPPA dibentuk bagi menilai perjanjian itu.

“Bagaimapun, masih tidak terlambat untuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapha Mohamed untuk menerima cadangan ini.

“Justeru, saya mendesak supaya menteri itu  mengumumkan pembentukan jawatankuasa berkenaan sebelum kerajaan menandatangani TPPA di New Zealand pada 4 Februari ini,” katanya pada kenyataan media, hari ini.

Semalam, usul TPPA diluluskan di Dewan Rakyat dengan dengan 127 Ahli Parlimen BN menyokong dan 84 Ahli Parlimen pembangkang menolak.

Kian Ming berkata, jawatankuasa khas itu perlu bagi membolehkan perjalanan proses pengesahan perjanjian berkenaan diteliti bagi memastikan kepentingan negara tidak tergadai.

“Jawatankuasa khas itu akan memantau serta memberi input kepada pindaan berkenaan bertujuan memastikan ia selaras dengan amalan terbaik antarabangsa.

“Malah, badan bebas itu juga akan memantau perubahan undang-undang dan prosedur di bawah pelbagai kementerian yang mana tidak memerlukan pengesahan dari Parlimen.

“Selain itu, ia juga bertujuan memastikan proses pengesahan oleh Amerika Syarikat dilaksanakan dengan adil dan tidak hanya memberi keistimewaan kepada pihak berkepentingan yang cuba mempengaruhi proses itu,” katanya.

Kian Ming, bagaimanapun mengakui ia perkara menyedihkan apabila Mustapha langsung tidak membangkitkan langsung cadangan berkenaan pada penggulungan perbahasan.

“Ia bermakna proses pengesahan TPPA akan dilakukan dengan cara tidak telus dan tidak bertanggungjawab,” katanya.