Berita

Terlibat dalam ketenteraan di Arab Saudi kerana derma RM2.6 bilion?

KUALA LUMPUR 16 FEB: Kerajaan Persekutuan perlu memberi penjelasan mengenai motif pembabitan anggota tentera Malaysia dalam operasi ketenteraan di Arab Saudi dan tujuan negara terlibat dalam konflik di rantau asing.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata penglibatan negara dalam operasi ketenteraan terbesar sejak perang dunia kedua itu wajar dijelaskan bagi mengelak andaian pelbagai pihak kerana ia memberi kesan buruk kepada rakyat dan pertahanan negara.

“Adakah negara bakal terlibat dalam peperangan walhal telah menubuhkan Kuala Lumpur Foundation to Criminalise War (KLFCW) yang diasaskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2007?

“Adakah kenyataan ‘‘syukur negara masih aman’’ bakal menjadi tidak relevan jika peperangan disertai Malaysia mengundang ancaman luar terhadap keselamatan orang awam di dalam negara?” katanya pada kenyataan media hari ini.

Beliau mengulas laporan agensi berita rasmi Arab Saudi, SPA mengenai Malaysia termasuk dalam perkumpulan 20 negara yang terlibat dalam misi ketenteraan “Thunder of The North” di Arab Saudi, yang disifatkan media itu sebagai “terpenting” dan “terbesar”.

Setiausaha DAP WIlayah Persekutuan itu juga mempersoal sama ada negara kini harus membalas budi setelah menerima sumbangan kerabat diraja Arab Saudi sebelum ini hingga terlibat dalam pertelingkahan di rantau Arab.

“Selepas mengembalikan sumbangan keluarga diraja Arab Saudi itu, adakah Malaysia kini perlu membalas budi dan bergiat aktif dalam usaha memerangi keganasan yang semakin merebak ke rantau Nusantara?

“Apakah tidak cukup ancaman serantau terutama insiden serangan Lahad Datu 13 Februari lalu untuk diutamakan, sehingga perlu melibatkan anggota tentera dengan pertelingkahan rantau Arab?” katanya.

Beliau berkata persoalan itu perlu dijawab kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak yang menerima sumbangan derma RM2.6 bilion dari kerabat diraja Saudi seperti yang disahkan Peguam Negara tempoh hari.

Katanya, Najib perlu menjelaskan perkara sebenar kepada rakyat dan tidak harus membiarkan integriti dan reputasinya terus dipersoal masyarakat tempatan mahupun antarabangsa. -Roketkini.com