Rencana

Bukan salahkan pekerja asing tapi salah siapa?

Tidak berlebihan kalau kita percaya lebih 80 peratus rakyat negara ini, termasuk kita meluahkan rasa bimbang dengan fasa terbaharu pasca merdeka migrasi besar-besaran golongan pekerja asing ke tanah tumpah darah kita, Malaysia; dengan 1001 telahan bahawa orang asing akan mendominasi segala punca rezeki kita baik ladang, kilang, bukit, laut malah hutan.

Berdasarkan wacana dan perbincangan umum kelompok masyarakat sivik dan komen di laman sosial, kita dapat melihat semacam kemarahan meluap-luap terhadap keputusan kerajaan untuk menyediakan kehidupan baharu kepada 1.5 juta pekerja dari negara Islam keempat terbesar di dunia, Bangladesh.

Dalam masa sama, kita dapat melihat sentimen kebencian terhadap pekerja asing meningkat. Pendek kata, seolah-olah semua salah imigran! Mereka dilabel sebagai perampas peluang pekerjaan rakyat tempatan, perampas cinta, pembawa masalah sosial, pembawa penyakit, meningkatkan pengaliran keluar wang negara, meningkatkan populasi negara; secara umum, mereka dituduh menyempitkan banyak ruang bernegara dan berkehidupan kita.

Tidak hairan jika selepas ini kita yang terbiasa dengan budaya salah-menyalah akan meletak segala beban masalah dalam negara ini di batu jemala pekerja asing tanpa menyedari lantai dan bumbung rumah yang melindungi kita dari panas dan ribut adalah hasil titik peluh dan susah-senang pekerja asing ini.

 

Pekerja asing mahu hidup seperti kita juga…

Kita menyalahkan segalanya kepada pekerja asing tanpa mahu peduli bahawa mereka juga seperti kita, berhijrah untuk mendapatkan penghidupan lebih baik, untuk membangun potensi diri dan keluar dari cengkaman kemiskinan. Sama halnya dengan kita yang keluar dari ladang sawit dan getah dari kampung menuju ke Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Baharu dan Singapura membawa segenggam hasrat untuk merebut peluang dan merubah kehidupan kepada lebih baik.

Jangan kita membuta tuli menyalahkan pekerja asing. Tidak kiralah dari mana asal keturunan mereka, ibarat butir hikmah pepatah Melayu, bukan salah ibu mengandung. Ya, kita tidak juga meminta kita dilahirkan ke dunia sebagai Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan atau Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Rohingya dan sebagainya. Kita anak bangsa manusia.

Dalam perkara ini, kita tidak juga boleh menyalahkan pasaran yang disebut menteri sebagai pihak yang memerlukan pekerja asing, sebaliknya pihak yang perlu bertanggungjawab menguruskan perkara ini ialah pemerintah sendiri.

Tentu, sistem pasaran bebas menjadi punca kepada permintaan buruh murah untuk meningkatkan keuntungan, sistem pasaran bebas membelakangkan polisi yang lebih manusiawi dan berkebajikan seperti perjuangan demokrasi sosial yang menjadi ideologi DAP. Sistem pasaran bebas tanpa kawalan memang jahat. Tapi, perlukan pemerintah ikut menyertai kejahatan itu?

 

Menteri tak boleh salahkan rakyat

Sefaham saya, kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi yang menuduh seolah-olah rakyat negara ini kurang berminat dalam sektor 3D (Dangerous, Dirty, Difficult) tidak tepat sama sekali. Pokok pangkalnya ialah, bagaimana kerajaan membentuk dasar sumber manusia yang lebih insani dengan menyediakan kelengkapan latihan dan gaji yang wajar.

Yang berlaku ialah kerajaan lepas tangan untuk menyediakan peluang pekerjaan dengan bayaran upah yang adil. Itu menyebabkan rakyat khususnya belia kurang berminat bekerja dalam sektor 3D. Apa jadi dengan pelaksanaan gaji minimum?

Dan, perkara paling mengghairahkan apabila pekerja asing memberi keuntungan besar kepada syarikat yang menguruskan mereka. Bak kata seorang teman, bayangkan jika keuntungan bersih menguruskan seorang pekerja asing ialah RM650. Berapakah jumlah keuntungan untuk 1.5 juta ‘kepala’? Tanyalah kalkulator anda.

Apapun yang berlaku, jangan marah jika kawasan taman atau pangsapuri atau kampung anda mendapat jiran baharu, koloni manusia yang dihuni pekerja asing. Mereka seperti kita yang mahu mencari penghidupan. Mereka tidak bersalah sama sekali.

Soalnya, siapakah yang menang, membuat keuntungan besar. Dan keuntungan itu pula dibahagi kepada beberapa kerat manusia sahaja? Lalu, membiarkan kita tercungap-cungap melakukan dua, tiga kerja sekali jalan? –Roketkini.com