Berita

Kerajaan tidak buat Penilaian Kesan Pasaran Buruh sebelum bawa masuk pekerja asing?

KUALA LUMPUR 16 FEB: Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mempersoal sama ada Kementerian Dalam Negeri melaksanakan Penilaian Kesan Pasaran Buruh sebelum berhasrat membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh ke negara ini.

Beliau berkata ia penting bagi mengetahui butiran kemasukan warga asing dan kesannya secara terperinci kepada negara sebelum menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan kerajaan Bangladesh.

“Di manakah laporan Penilaian Kesan Pasaran Buruh? Sudahkah kerajaan menjalankannya sebelum membuat keputusan itu?

“Jika ya, mengapakah laporan penilaian itu tidak dibentang kepada umum? Apakah jenis industri yang telah dikenal pasti memerlukan 1.5 juta pekerja itu?” katanya pada kenyataan media semalam.

Dalam keadaan ekonomi semakin perlahan, katanya, langkah kerajaan itu wajar dipersoal, lebih-lebih lagi Pertubuhan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) mengatakan mereka tidak membuat permintaan khusus untuk pekerja warga Bangladesh itu.

Malah, beliau berkata, tindakan kerajaan Persekutuan itu tidak seiring dengan matlamat Rancangan Malaysia ke-11 untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah, seterusnya menyebabkan peningkatan gaji terbantut.

“Matlamat Malaysia untuk meningkatkan gaji pekerja menjelang 2020 bakal menjadi sia-sia. Tangga gaji di Malaysia hanya menunjukkan kenaikan yang amat sedikit dalam satu dekad ini. Membawa masuk 1.5 juta pekerja asing akan lebih menyekat kenaikan itu,” katanya.

Beliau berkata, terdapat banyak langkah lain boleh diambil kerajaan bagi memenuhi kehendak pasaran kerja berbanding mengambil 1.5 juta pekerja asing dari Bangladesh.

“Malaysia ada lebih tiga juta pekerja asing tanpa izin, justeru kerajaan patut memberi mereka dokumen dan latihan agar mereka diserap ke pasaran kerja berbanding membawa masuk pekerja asing.

“Malah, mengapa sebelum ini kerajaan pimpinan UMNO tidak menerima tuntutan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar membolehkan 150,000 pelarian bekerja di sini?” katanya.

Menyifatkan terlalu banyak persoalan timbul berhubung isu itu, beliau menggesa Kementerian Dalam Negeri menghentikan penandatanganan MoU sehingga Penilaian Kesan Pasaran Buruh diteliti dan dikaji semua pihak. -Roketkini.com