Rencana

Apa kapal pengawal pantai China buat di perairan Malaysia?

MERENTAS Lautan Pasifik, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama barisan pemimpin dana elitis negara ASEAN sedang bersidang bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Barrack Obama yang dalam pecutan akhir sebelum melabuhkan tirai pentadbirannya.

Yang pasti, sidang kemuncak AS-ASEAN itu episod akhir bagi beliau dalam drama pertembungan antara dua kuasa yang menjadikan ASEAN sebagai perisai.

Ia juga menjadi pentas akhir Obama mengukuhkan agenda Pasak Asia (meminjam terma yang digunakan Hishamuddin Rais yang merujuk kepada Pivot to Asia) – legasi pentadbirannya yang dilakar bagi mengekang kemaraan China menuju puncak kuasa dunia.

Ketegangan geopolitik di rantau ini tidak akan berkesudahan meskipun Obama angkat kaki dari Rumah Putih – dengan kehadiran kedua-dua kuasa yang bersifat agresif – tempiasnya pula dirasai negara-negara ASEAN.

Balik semula ke rantau ini – Filipina menjangka keputusan pertikaian wilayahnya dengan China bakal diputuskan pada Mei akan datang; ia juga bakal menyaksikan satu lagi episod baharu dalam siri drama geopolitik di rantau ini.

Dalam pada itu, kita di Malaysia pula masih bingung dengan kehadiran kapal pengawal pantai milik China di perairan Sarawak dan ditegaskan oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussien sebagai terkawal.

Jelas, di kala AS hampir pasti mengikat ASEAN, China pula muncul merentapnya dengan tindak-tanduk sebaliknya. Yang tersepit negara-negara ASEAN – seperti Malaysia, yang kerajaannya jelas memperlihat keperluan hubungan sihat dengan kedua-dua kuasa itu.

 

Ketegasan pemerintah

Situasi di perairan Gugusan Beting Patinggi Ali di kejauhan jarak 84 batu nautika dari Pantai Miri, Sarawak amat mendesak untuk diberi pandangan serius – tidak wajar disepikan dari pengetahuan akar umbi – pencerahan daripada pemerintah diperlukan sekaligus merungkai kegusaran dan persoalan tentang situasi ini khususnya nelayan yang terkesan selama dua tahun kebelakangan ini.

Apabila dirujuk dan dibelek laporan – ada juga yang menggunakan terma kapal perang sebagai merujuk kepada kapal pengawal pantai – ia jauh sekali meleset dan mengelirukan. Jika dirujuk agensi kawalan pantai kerajaan China (China Coast Guard) – yang ditubuh pada 2013 selepas digabung dengan beberapa agensi keselamatan maritim China sebagai langkah menjamin kelangsungan dan kepentingan China di lautannya.

Persoalan di perairan Gugusan Beting Patinggi Ali – memetik laporan Bernama tahun lalu, jentera China itu mula muncul di perairan berkenaan semenjak 2013 dan ia ditegaskan oleh Malaysia sebagai pencerobohan perairan negara pada Jun tahun lalu menerusi bantahan diplomatik kepada China.

Ia berikutan jentera itu didapati berlabuh di kawasan yang dirangkum sebagai perairan Zon Eksklusif Ekonomi (EEZ) Malaysia – Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perundangan Samudra (UNCLOS) mentakrifkan keluasan jarak EEZ sebagai 200 batu nautika dari titik rendah perairan negara (baseline).

Sebagai pencerahan – UNCLOS menetapkan hak kedaulatan kepada negara pemilik EEZ yang sekaligus bebas untuk menerokanya (termasuk aktiviti perikanan) dan membataskan penerokaan negara lain. Pun begitu, ia masih menjamin hak kebebasan negara lain untuk menyusur lautan dan ruang udara di kawasan berkenaan.

Ia didatangkan dengan prinsip hak laluan ikhlas (innocent passage) sebagaimana yang ditegaskan Liew Chin Tong, Ahli Parlimen Kluang pada kenyataannya membidas Datuk Seri Hishammuddin Hussein baru-baru ini.

Pendeknya, boleh saja menyusurinya asalkan tidak mengancam kepentingan negara pemiliknya – China, kalau mahu menyusur, silakan, asalkan tidak ancam kedaulatan Malaysia. Tapi, kalau sampai berlabuh, itu lain macam tujuannya – bagi negara seperti Malaysia, ia serius dan dilihat sebagai ancaman, lebih-lebih lagi dengan sifat China yang kini agresif membuat tuntutan di pelusuk Laut China Selatan.

Lebih menggusarkan, ia barangkali secara hakiki tidak memberi ancaman secara fizikal; seperti wilayah dan sempadan – tetapi memberi kesan kepada aktiviti perikanan nelayan tempatan yang dikatakan tidak selesa dan gusar untuk meneruskan aktiviti ekonomi mereka.

Dirumuskan, ia dilihat sebagai melanggar prinsip hak laluan ikhlas – kerana memberi ancaman, bukan secara fizikal tetapi kepada warganya dalam sisi spektrum kedaulatan negara secara komprehensif.

 

China kawal pantai kita?

Persoalan berbalik kepada kapal pengawal pantai milik China – apakah yang dibuatnya berlabuh di kawasan EEZ Malaysia? (Persoalan itu muncul ketika dirujuk tentang situasi ini kepada seorang pensyarah kanan yang arif tentang perundangan antarabangsa). Sedangkan ia digariskan untuk mengawal perairan China dan kawasan yang berkepentingan baginya (baca: dituntutnya).

Jawapan Datuk Hishammuddin Hussien pula seakan-akan ragam China itu tidak memberi kesan kepada kedaulatan negara walhal hakikatnya, ya, Malaysia terkesan. Perlu ditegaskan kawasan EEZ tidak dimiliki Malaysia secara azali tetapi ia diperoleh melalui tuntutan.

Meskipun dinyatakan oleh Datuk Seri Shahidan Kassim (Menteri JPM yang bertanggungjawab dalam hal ini) bahawa perairan di kawasan beting berkenaan tiada dalam tuntutan China – namun, jika Malaysia bersikap acuh tak acuh kepada ragam China, ia mungkin sekali memberi ancaman kelak.

Lebih malang, jawapan pemerintah juga tidak selari; si polan kata menceroboh, si polan kata terkawal, si polan kata tiada maklumat, si polan ni pula kaitkan dengan usaha mencari dan menyelamat, si polan tu pula aturkan pertemuan si polan yang lain dengan si polan dari China – maka, apa sebenarnya situasi di perairan ini?

Mohon pencerahan wahai pemerintah!

 

* Muhammad Ariff Mohamad Nizam mengikuti program Kajian Antarabangsa Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak