Berita

1MDB: SPRM kena berani tuntut kuasa pendakwaan

KUALA LUMPUR 17 FEB: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menunjukkan keberanian untuk mendapatkan kuasa pendakwaan bagi setiap kes yang disiasat.

Jika tidak, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo berkata, agensi itu akan kekal tidak berdaya apabila berdepan kes seumpama skandal derma RM2.6 bilion sekalipun menjalankan tanggungjawab dengan baik.

“Apakah yang akan SPRM lakukan? Buat masa ini, SPRM seolah-olah tidak akan melakukan apa-apa.

“Bukankah tindakan itu menggambarkan betapa tidak berdayanya SPRM terutama apabila menangani siasatan kes seumpama itu?” katanya pada kenyataan media, semalam.

Beliau berkata, SPRM tidak boleh menyalahkan undang-undang semata-mata tetapi perlu menyalahkan diri sendiri jika tindakan mereka tidak cukup untuk menyakinkan rakyat sekalipun bersikap telus dan jujur.

Selain itu, Gobind berkata, SPRM perlu mendapatkan pengesahan mahkamah sama ada agensi kerajaan boleh diarah untuk menutup kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. dan ‘derma’ RM2.6 billion.

Mengikut Artikel 145 (3) Perlembagaan Malaysia, beliau, berkata keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali yang mengarahkan SPRM menutup kes itu, jelas melangkaui kuasa undang-undang Perlembagaan itu.

Pada 26 Januari lalu, Apandi mengarah SPRM menutup kes berkenaan berikutan Peguam Negara itu mendapati tiada kesalahan dilakukan atas alasan sebahagian derma RM2.6 bilion sudah dipulangkan kepada keluarga diraja Arab Saudi pada 2013.

Bagaimanapun, keputusan Apandi itu mengundang kritikan pelbagai pihak yang mahukan kes itu dibuka semula berikutan ada percanggahan kenyataan, malah, keputusan itu juga dilihat cuba melangkaui Perlembagaan.- Roketkini.com