Berita

Mahasiswa dihukum kesalahan remeh, pentadbir rugi puluhan juta terlepas

KUALA LUMPUR 18 FEB: Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong mengecam keras keputusan prosiding disiplin Universiti Malaya (UM) mensabitkan kesalahan terhadap enam mahasiswa (UM6) ekoran bantahan mereka terhadap pelaksanaan kuota internet di universiti itu.

Beliau berkata, keputusan prosiding disiplin itu tidak adil, tidak berasas, tidak demokratik, salah dan patut diketepi kerana bantahan aman itu dibuat demi memelihara hak mahasiswa universiti itu.

“Keputusan itu amat mengecewakan bagi sebuah universiti perdana Malaysia. Lagipun, bantahan dibuat selepas maklum balas mahasiswa di situ mendapati hampir 98 peratus mahasiswa tidak bersetuju dengan pelaksanaan kuota berkenaaan,” katanya pada kenyataan media hari ini.

Beliau mengulas insiden enam mahasiswa UM6 iaitu Nur Hananie Chow Abdullah, Suhail Wan Azahar, Fahmie Nuaiman, Muhammad Luqman, Ho Chi Yang dan Chua Hun Chi didapati bersalah selepas dibicarakan oleh prosiding disiplin universiti pada 15 Februari lalu.

Disabit kesalahan atas melanggar peraturan kampus dengan mengadakan sidang akhbar tanpa mendapat kelulusan universiti, mereka kemudiannya dilepaskan dengan amaran.

UM6 mengadakan sidang akhbar pada 14 Disember tahun lalu bagi membantah pelaksanaan kuota Internet di kampus itu berikutan pemotongan peruntukan kepada institusi pengajian tinggi yang diumumkan dalam Bajet 2016 sebelum ini.

Bagaimanapun, Steven yang juga alumni Universiti Malaya, berkata keputusan tidak memeranjatkan kerana mereka hanya mengikut teladan kerajaan Malaysia yang tidak membenarkan rakyat bersuara mengkritik kerajaan.

“Pada 2015 sahaja, 91 individu disiasat, didakwa ataupun disabitkan kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948 semata-mata kerana menyatakan perkara yang tidak digemari kerajaan. Ia bagaikan pemimpin borek, pengikut rintik.

“UM juga pernah mensabitkan kesalahan terhadap satu lagi kumpulan mahasiswa, UM8 hanya kerana menjemput Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyampaikan syarahan di kampus itu pada 2014,” katanya.

Justeru, beliau menggesa UM memberi lebih perhatian kepada masalah pengurusan kampus seperti Laporan Audit Negara (LAN) 2014 berbanding menghukum mahasiswa atas isu tidak relevan.

Antara masalah dikenal pasti ialah 379 perolehan universiti berjumlah RM3.26 juta tidak melalui proses perolehan sebut harga e-Procurement atas sebab tidak munasabah serta perbelanjaan berjumlah RM610,835 dibelanja untuk program tanpa mematuhi tatacara perolehan.

UM juga didapati mengalami kelewatan lebih dua tahun bagi projek pembinaan bangunan bengkel dan makmal, mengakibatkan kerugian tambahan RM1.3 juta serta kehilangan aset universiti bernilai RM13 juta.

“Apakah hasil siasatan dan tindakan dalam masalah berkenaan? Adakah Naib Canselor dan pengurusan atasan menghadapi prosiding tatatertib kerana menyebabkan UM rugi berjuta-juta?”

“Jangan hanya hebat menghukum mahasiswa tetapi pihak yang menyebabkan kerugian puluhan juta ini pula tidak dikenakan apa-apa tindakan,” katanya.