Berita

Dalang skandal 1MDB diketahui tidak lama lagi

PETALING JAYA, 18 FEB: Segala persoalan terhadap kes 1MDB dan derma RM2.6 bilion yang dikaitkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bakal terungkai dalam masa terdekat.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua, berkata jawapan termasuk dalang sebenar dua skandal yang mendapat perhatian antarabangsa itu, hampir diketahui tidak lama lagi.

“Ramai yang mulai putus harapan dengan skandal ini. Mesej yang saya nak sampaikan sangat mudah. Kita sangat dekat untuk menemui siapa dalang di sebalik dua skandal terbesar 1MDB dan penderma sebenar kepada Perdana Menteri,” katanya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata demikian malam tadi pada Forum Skandal 1MDB dan RM2.6 bilion: Kedaulatan Undang-Undang Terkubur di Dewan Sivik Petaling Jaya yang dihadiri lebih 1,000 orang.

Selain Pua, panelis lain ialah Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli; Ahli Jawatankuasa Amanah, Hanipa Maidin; Ketua Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo; aktivis undang-undang Datuk Ambiga Sreenevasan dan sekretariat Suaram, Cynthia Gabriel.

Pua berkata, skandal itu lebih mudah dan cepat diselesaikan jika Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali membuat arahan menyiasat skandal itu tetapi beliau sebaliknya membebaskan Najib dari sebarang pertuduhan.
.
Beliau juga meminta semua lapisan rakyat jangan berputus asa untuk melihat segala persoalan skandal berkenaan terjawab sekalipun pelbagai cara digunakan bagi mengelakkannya terdedah kepada umum.

“Kita tahu hari ini agensi pihak berkuasa seluruh dunia sangat berminat untuk mengetahui betapa ‘bijaknya’ Perdana Menteri kita. Kita hanya menunggu masa untuk kebenaran terserlah,” katanya. -Roketkini.com