Berita

Pulau Pinang beri penghargaan RM10,000 kepada Faiz

GEORGE TOWN 18 FEB: Kerajaan Pulau Pinang hari ini memberi penghargaan kepada pemain bola sepak negeri itu, Mohd Faiz Subri yang jaringan uniknya semalam mendapat perhatian dunia sukan berkenaan.

Penghargaan berbentuk ganjaran RM10,000 disampaikan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam satu majlis di Komtar di sini, hari ini.

Beliau gembira kerana jaringan Faiz itu menarik perhatian dunia, malah pemain berjersi 13 itu disebut-sebut bakal menerima Anugerah Puskas FIFA 2016 sekalipun prestasi pasukan bola sepak negara digambarkannya sebagai ‘menyakitkan hati’

“Dunia bola sepak digegarkan dengan gol yang amat ‘ajaib’ hingga mendapat perhatian dunia dalam banyak media antarabangsa. Ini kali pertama pemain bola sepak Malaysia menerima pengiktirafan dan kemasyhuran pada peringkat global,” katanya pada satu majlis di Komtar di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mohd Rashid Hasnon.Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff dan Ketua Jurulatih, Jacksen F Tiago.

Jaringan itu dilakukan pemain yang menjaringkan 13 gol sepanjang musim lalu pada perlawanan yang menyaksikan Pulau Pinang membenam Pahang 4-1, semalam. –Roketkini.com