Berita

Kemasukan pekerja Bangladesh rencat pendapatan rakyat tempatan

KUALA LUMPUR 19 FEB: Keputusan membawa masuk 1.5 juta pekerja asing tidak mahir ke Malaysia bakal melambatkan proses inovasi dan peningkatan teknologi serta merencat pertumbuhan pendapatan rakyat.

Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong berkata Malaysia ketinggalan jauh dalam aspek inovasi dan teknologi berbanding negara maju ekoran jumlah pekerja asing tidak mahir yang berlebihan dalam negara.

“Mengurangkan jumlah pekerja asing tidak mahir menjadi asas pembinaan negara yang berteras kepada kemahiran, inovasi dan teknologi yang luar biasa. Disebabkan lambakan pekerja asing, mesin pencuci pinggan mekanikal pun sukar dijumpai di Malaysia.

“Contohnya, semasa krisis buruh 1990-an, stesen minyak di negara kita terpaksa mengamal sistem ‘layan diri’ dan menggunakan mesin untuk membasuh kenderaan.

“Kini, yang membasuh kenderaan kita ialah pekerja asing. Mesin basuh kereta sudah tidak digunakan dan perkhidmatan basuh kereta secara manual pula semakin meningkat,” katanya pada kenyataan media hari ini.

Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan itu berkata kemasukan pekerja asing secara besar-besaran juga menggugat peningkatan gaji rakyat tempatan, terutama apabila mereka bersetuju dibayar dengan gaji yang rendah.

“Gaji peguam yang baru menamatkan pengajian tidak banyak meningkat sejak tiga dekad lalu. Begitu juga dengan pekerja  sektor lain, termasuk yang tidak ada ijazah.

“Disebabkan jumlah pekerja asing terlalu ramai, rakyat tempatan tidak dapat menuntut gaji lebih tinggi, justeru menjejaskan taraf kehidupan mereka,” katanya.

Beliau berkata, keputusan kerajaan UMNO BN itu juga menyukarkan negara menghadapi krisis ekonomi yang bakal tiba berikutan kekurangan peluang pekerjaan dengan gaji setimpal akan mengurangkan perbelanjaan rakyat.

“Dalam krisis ekonomi, negara kebiasaannya mengurangkan eksport dan bergantung sepenuhnya kepada penggunaan domestik.

“Sejak 2009, Malaysia menjadi semakin bergantung kepada penggunaan domestik. Malah, hampir 90 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita disumbang olehnya.

“Jika peluang pekerjaan dengan gaji setimpal, bagaimana mereka mahu menyumbang kepada penggunaan domestik itu? Ia akan menyebabkan ekonomi runtuh,” katanya.