Berita

Negara perlu pulih untuk capai ‘Impian Malaysia’

GEORGE TOWN, 22 FEB: Malaysia perlu pulih dan kembali kepada hala tuju sebenar demi mencapai ‘Impian Malaysia’ melalui perubahan politik yang progresif dengan menolak perkauman dan bersatu dalam perbezaan untuk menjadi sebuah negara yang bersatu, moderat, demokratik dan makmur.

Ini kerana polarisasi kaum dan agama pada waktu ini telah merencatkan kejayaan negara dalam bidang keberhasilan sumber manusia sekaligus mencacatkan pencapaian Malaysia di banyak lapangan.

Demikian kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam ucapannya sempena sambutan ulangtahun kelahiran yang ke-75 dihadapan kira-kira 1,000 tetamu di Hotel Equatorial, dekat sini, Sabtu lalu.

Menurut Ahli Parlimen Gelang Patah itu, dalam masa enam dekad sejak kemerdekaan pada 1957 dan pembentukan Malaysia 1963, Malaysia telah kehilangan hala tuju dan keyakinan diri untuk memenuhi impian asal pembentukan negara ini.

“Malaysia saat ini menjadi terpecah akibat perkauman dan agama yang menyebabkan kejayaan dan pencapaian negara terbantut dalam banyak bidang.

“Kita perlu cari dan pulihkan semula keyakinan kita untuk bersaing dengan yang lain dan menjadi yang terbaik di dunia. Kita mesti mencari kekuatan kita sebagai rakyat Malaysia,” kata beliau.

Mengimbau penubuhan Malaysia pada tahun 1963, Kit Siang berkata negara menduduki tempat kedua dalam Asia selepas Jepun dalam pembangunan ekonomi, kemakmuran dan pendapatan per kapita.

“Malaysia pada waktu itu juga lebih makmur dari negara-negara asean termasuk Korea Selatan dan Taiwan yang lebih miskin dan mundur.

“Tetapi selepas beberapa dekad, Malaysia semakin tertinggal dalam persaingan ekonomi dan kecemerlangan pendidikan dan dalam tahun 90-an, Malaysia telah tertinggal ke belakang sebagai harimau ekonomi asia berbanding Singapura, Hong Kong, Korea Selatan dan Taiwan dan hanya mampu berangan-angan untuk menjadi harimau ekonomi asia,” ujarnya.

Meskipun Malaysia, kata Kit Siang, mahu bangkit semula sebagai ‘harimau ekonomi Asia’, harapan itu terbantut akibat krisis ekonomi ASEAN pada tahun 90-an dan saat ini.

“Satu-satunya ‘kejayaan’ yang dikecapi Malaysia saat ini ialah peningkatan gejala rasuah, yang pada tahun 2015, Malaysia menduduki tempat ke tiga indeks rasuah tertinggi di dunia. Kedudukan kita turun empat anak tangga dalam Indeks Rasuah Transparency International 2015 dalam tempoh 10 tahun,” jelas beliau.

Dalam majlis sederhana tetapi meriah itu, Kit Siang berkongsi penglibatan penuhnya dalam politik 50 tahun lalu adalah dengan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Seruan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang boleh dibanggakan semua rakyat Malaysia adalah motif utama saya meletak jawatan sebagai wartawan di Singapura pada waktu itu dan kembali ke Malaysia memulakan kerjaya politik saya untuk mencapai Impian Malaysia.

“Itu ialah 50 tahun lalu. Kerjaya politik saya sama dengan usia penubuhan parti yang juga telah mencecah setengah abad yang didaftarkan secara rasmi pada 18 Mac 1966 walaupun kita telah cuba untuk mendaftarkannya lima bulan awal iaitu pada 11 Oktober 1965,” kata Kit Siang.

Di akhir ucapannya, beliau mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah menyokong cita-cita untuk mencapai ‘Impian Malaysia’.

Selain kehadiran pimpinan tertinggi parti seluruh negara, majlis pada malam itu turut dihadiri pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan, pemimpin kumpulan masyarakat sivik, ahli-ahli akademik dan juga tokoh veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah. – Roketkini.com