Berita

Kes guru agama dakwa dipukul polis, DAP sedia bantuan guaman

ALOR SETAR, 22 FEB: Seorang guru agama KAFA mendakwa dua anggota polis menengking, menghina dan memukulnya di Balai Polis Gurun pada Selasa lalu sehingga cedera di kepala dan tangan serta trauma.

Guru tersebut, Mohd Na’im Zakaria, 29, kemudiannya meminta bantuan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Darul Aman, Teoh Boon Kok bagi mengadakan sidang media berhubung kes itu setelah membuat laporan polis di pondok polis Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Bapa kepada dua anak itu berkata beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan, malah mempunyai lesen dan cukai jalan sah. Namun, beliau mendakwa dipukul, ditengking dan diperlekeh oleh dua polis itu dan ditahan hampir tiga jam seperti dilapor media.

Teoh yang hadir pada sidang media itu meluahkan rasa kesal berikutan sikap dua anggota polis berkenaan, bersetuju membantu Na’im untuk proses dakwaan selanjutnya.

Katanya, ustaz Na’im berasa takut selepas mengatakan beliau dipukul polis dan beliau tidak tahu apa perlu dilakukan.

Beliau kemudiannya datang berjumpa saya bagi meminta nasihat dan mengadakan sidang media, tambahnya.

“Kami dari pihak DAP akan menawarkan bantuan guaman untuknya. Malah, Adun Seri Delima (Pulau Pinang) RSN Rayer yang merupakan seorang peguam telah bersetuju menghulurkan bantuan.

“Tugas dan kewajipan mereka (polis) ialah untuk menjaga keselamatan dan membela rakyat.

“Polis tiada hak memukul seseorang tanpa menjalankan siasatan. Lagipun, beliau (Na’im) tidak melakukan sebarang jenayah semasa ditahan dalam sekatan jalan itu,” kata Teoh dalam sidang media sebagai mana yang dilapor media.

Menurutnya, kenyataan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa kes itu mungkin bermula disebabkan provokasi oleh guru agama itu baru-baru ini adalah tidak wajar ekoran siasatan terperinci masih belum dijalankan.

“KPN kata kes ini mungkin dimulakan oleh tindakan provokasi Ustaz Na’im.

“Tapi, bagaimana beliau boleh berkata demikian sebelum menjalankan siasatan dalaman? Adakah beliau cuba menyebelahi mana-mana pihak sebelum menyiasat secara terperinci?” katanya.

Kejadian itu berlaku pada pukul 10 malam ketika guru agama KAFA yang sedang menunggang motosikal berkuasa tinggi itu ditahan dalam sekatan jalan di hadapan Balai Polis Gurun Selasa lalu.

Setelah didakwa dipukul sehingga mengalami kecederaan kepala dan lebam di tangan, beliau kemudiannya menjalani rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah dan membuat laporan polis sebelum meminta nasihat dan bantuan Adun DAP berhubung kes itu. – Roketkini.com