Berita

Isu dua pengarah GLC Pulau Pinang: BN usah ambil kesempatan

KULAI, 23 FEB: Penamatan khidmat dua wakil rakyat PKR Pulau Pinang dari syarikat GLC negeri iaitu Adun Bukit Tengah, Ong Chin Wen, dan Adun Kebun Bunga, Cheah Kah Peng, menimbulkan banyak spekulasi melulu dan tuduhan tidak wajar terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang.

Terbaru ialah dakwaan semberono Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Keruak yang menuduh penamatan khidmat dua wakil rakyat PKR itu membuktikan ‘tidak ada konsensus dalam Pakatan Harapan’.

Dakwaan dangkal menteri UMNO itu ibarat meludah ke langit apabila dibidas Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching.

“Di mana kata sepakat (konsensus) komponen Barisan Nasional (BN) semasa buat keputusan untuk memecat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir?

“Jika perlantikan atau penyingkiran timbalan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah hak mutlak Perdana Menteri, mengapa penyingkiran pengarah dalam GLC memerlukan konsensus di kalangan parti-parti komponen Pakatan Harapan?” soalnya mengambil logik kenyataan Salleh.

Lebih-lebih pula, kata Ahli Parlimen Kulai itu, penyingkiran terhadap Muhyiddin dan Mukhriz berlaku disebabkan kelantangan mereka mengkritik Najib berikutan isu 1MDB dan skandal derma RM2.6 bilion.

Sebaliknya, apa yang berlaku ke atas dua wakil rakyat PKR, Ong dan Cheah adalah kerana mereka tidak melakukan sebarang perbincangan sebelum masa undian di sidang Dewan Undangan Negeri untuk berkecuali daripada strategi UMNO memperlekehkan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Tambahnya, DAP sentiasa meraikan dan boleh menerima perbezaan pendapat.

“Dalam konteks ini, untuk merapatkan jurang perbezaan pendapat dalam memastikan fungsi kerajaan berjalan lancar, adalah amat penting perkara itu diketengahkan dan dibincangkan dalam mesyuarat tertutup,” kata beliau.

Berkongsi nada yang serupa, Adun DAP Kampung Tunku, Lau Weng San berpandangan perkara mengelirukan seperti ini boleh dielakkan sekiranya wakil rakyat PKR berkomunikasi langsung dengan Ketua Menteri dan barisan Exco melalui perbincangan tertutup.

“Sepatutnya boleh sahaja dibawa berbincang dengan Ketua Menteri jika ada perkara yang mahu mereka ketengahkan,” katanya. – Roketkini.com