Berita

‘Salahkah bila PKR pecat Khalid Ibrahim?’

GEORGE TOWN, 23 FEB: Kekeliruan dan pertikaian yang berlaku akibat penamatan khidmat dua wakil rakyat PKR Pulau Pinang dari syarikat GLC negeri itu tidak akan memudaratkan Pakatan Harapan kerana situasi yang sama akan berlaku dalam mana-mana organisasi, termasuk apa yang berlaku kepada mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, penyingkiran bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim oleh PKR dilakukan kerana beliau telah melakukan tindakan yang bertentangan dengan keputusan yang ditetapkan parti sebelum itu.

“Semasa Tan Sri Khalid disingkir, kami (DAP) diminta untuk sokong, dan sebagai komponen, kita menyokong tindakan PKR itu,” katanya dalam satu sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau bertanya mengapa PKR kini tidak menyokong keputusan kerajaan negeri Pulau Pinang dalam hal berhubung dua Adun PKR tersebut.

“Ia adalah keadaan yang sama. Mereka mahu kedua-dua Adun itu dikembalikan kedudukan mereka dalam GLC negeri. Adakah sekarang mereka tidak bersetuju (dengan apa yang mereka buat terhadap Khalid Ibrahim) dan mahu Khalid dikembalikan (sebagai Menteri Besar)?

“Saya rasa tidak. Kita mesti konsisten. Tanpa bersikap konsisten, ia akan menjejaskan pakatan,” jelas beliau.

Merungkai segala persoalan dan kritikan terhadap Kerajaan Pulau Pinang, Guan Eng menjelaskan bahawa dua wakil rakyat PKR itu sebelum ini tidak pernah mengutarakan isu yang menjadi perhatian mereka semasa sidang Dewan Undangan Negeri.

“Mereka langsung tak cakap sepatah pun dalam dewan. Anda (wartawan) sendiri tahu kerana ada di sana.

“Masalahnya seolah-olah tikam belakang. Jika anda tak bersetuju, mengapa anda setuju (sejak awal lagi) dan kemudian mengambil tindakan yang bertentangan di luar mesyuarat,” jelasnya. -Roketkini.com