Berita

Alasan PAC tangguh mesyuarat skandal 1MDB tak boleh diterima

KUALA LUMPUR 24 FEB: Alasan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC), Datuk Hasan Arifin bahawa mesyuarat berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditangguh kerana ‘kebanyakan ahli sedang di luar negara’ tidak boleh diterima.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang juga mempersoal mengapa kehadiran semua ahli PAC ke mesyuarat itu penting sedangkan mereka diberi notis mesyuarat dan laporan audit akhir akan disediakan dalam bentuk bercetak dan dibentang di Parlimen beserta laporan PAC.

“Mengapa kebanyakan ahli PAC berada di luar negara apabila mesyuarat itu ditetapkan pada 11 Februari lalu dengan pengetahuan dan persetujuan mereka? Adakah mana-mana ahli sebelum ini menyatakan akan berada di luar negara dan tidak boleh menghadiri mesyuarat PAC?

“Siapakah mereka? Jika tidak, mengapa tiba-tiba saja Hasan mengeluarkan kenyataan seolah-olah semua ahli PAC dari Barisan Nasional (BN) bergegas ke luar negara pada kedua-dua tarikh?” katanya pada kenyataan media hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Hasan semalam bahawa mesyuarat melibatkan pembentangan laporan akhir Ketua Audit Negara mengenai 1MDB kepada PAC dijadual hari ini dan esok ditunda ke minggu pertama Mac ekoran kebanyakan ahli di luar negara.

Ia merupakan kali kedua pembentangan laporan audit berhubung 1MDB kepada PAC ditunda berikutan agensi itu sepatutnya menerima laporan berkenaan di pertengahan Disember tahun lalu tetapi ditangguhkan, kononnya atas permintaan Audit Negara.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata Hasan perlu menamakan ahli yang sedang berada di luar negara dan sebab ketidakhadiran mereka bagi memastikan beliau tidak cuba mengelirukan Ahli Parlimen dan rakyat.

“Cuba kita kira dari 14 ahli PAC itu – siapa yang berada di luar negara, mengapa mereka di luar negara dan bilakah mereka merancang perjalanan ke luar negara?

“Rakyat berhak mengetahui identiti mereka yang ‘ponteng’ atas alasan berada di luar negara saat kita di sini memerlukan mereka bagi mendedah skandal RM55 bilion 1MDB,” katanya.

Katanya, ahli PAC yang tidak hadir harus dikutuk oleh orang ramai walaupun tidak dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen atas sebab pengabaian tugas, melainkan ada sebab kukuh untuk ke luar negara. -Roketkini.com