Berita

Kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh atas dasar perniagaan?

BUKIT MERTAJAM 24 FEB: Kerajaan UMNO BN digesa memberhentikan pengambilan 1.5 juta pekerja asing warga Bangladesh ke negara ini sehingga kajian terperinci mengenainya dilakukan.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, ia perlu bagi memastikan keperluan setiap pekerja asing serta pekerja tempatan untuk pelbagai sektor di negara ini dikenal pasti.

Justeru, beliau menggariskan dua langkah yang harus diambil kerajaan sebelum proses pengambilan pekerja asing yang baru ke negara ini dapat diteruskan.

“Pertama, semua pekerja asing di negara ini harus didokumentasi dan perlu dipadankan dengan sektor yang diperlukan atau diambil tindakan undang-undang untuk dalam masa enam bulan.

“Kedua, jawatankuasa penasihat daripada semua parti dibentuk untuk merangka Pelan Tindakan Sumber Manusia dan Buruh Negara dalam jangka masa setahun akan datang untuk mengkaji isu berkaitan dan menyediakan langkah strategik untuk membangunkan serta menggunakan tenaga kerja, tempatan mahupun asing,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan pembekuan pengambilan pekerja asing ke negara ini, sehari selepas menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) dengan kerajaan Bangladesh.

Pada kenyataan media hari ini, Steven Sim turut mengakui dasar kerajaan yang seolah-olah mementingkan keuntungan tanpa melalui proses kajian terperinci berkaitan sebagai punca kepada kenyataan “flip-flop” yang dikeluarkan Zahid itu.

“Kenyataan tidak konsisten kerajaan itu membuktikan dasar pengambilan pekerja asing itu tidak terurus, semberono, sembarangan dan tidak masuk akal.

“Jika tidak ada keperluan untuk ambil pekerja asing, kenapa umum mengenai 1.5 juta pekerja asing pada mulanya, tetapi jika ada keperluan, kenapa beku?

“Masalah yang kita hadapi bukanlah berkaitan pekerja asing atau industri atau kononnya pekerja tempatan yang tidak mahu buat kerja buruh, tetapi kerana tidak ada strategi yang betul berkaitan sumber manusia.

“Dasar kerajaan adalah berdasarkan model perniagaan. Apakah model perniagaan itu? daripada mengambil pekerja asing untuk keperluan perniagaan tempatan, kerajaan sebaliknya melihat ia sebagai satu perniagaan,” katanya.

Beliau sebelum ini dalam satu kenyataan mendakwa terdapat empat syarikat swasta yang mempunyai hubungan langsung dengan kerajaan mengambil keuntungan daripada caj levi dan proses dokumentasi pekerja asing.

Antara empat syarikat swasta yang didakwa mengaut berbilion ringgit hasil daripada membawa masuk pekerja asing ke negara ini adalah NERS Sdn Bhd, MyEg Sdn Bhd, Synerflux Sdn Bhd dan Fomema Sdn Bhd. -Roketkini.com