Rencana

Antara Tanda Putera dan Ola Bola

INGATKAH kita kontroversi dalam filem Tanda Putera?

Filem yang berlatar sejarah itu diadun dengan pendapat peribadi atau imaginasi pembuat filemnya mengenai satu babak yang dianggap ‘fiksyen’ yakni tidak bersandar fakta sejarah apabila memaparkan babak pemimpin DAP, Lim Kit Siang digambarkan kencing di tiang bendera di rumah Menteri Besar Selangor.

Namun, isu itu hanyut dalam konteks kebebasan kreativiti atau ekspresi pembuat filem. Tanpa penjelasan atau perbincangan jelas dan memberi makna.

Kini, filem terbaru berjudul Ola Bola juga mengalami perkara sama apabila James Wong berkata filem ‘Ola Bola’ perlu mengekalkan fakta dan tidak mengubahnya kerana boleh mengelirukan generasi muda.

James Wong merujuk kepada babak filem yang berlatar belakang sejarah bola sepak negara ketika era 80-an, dalam satu liga untuk menentukan tiket ke sukan Olimpik.

Jelas memang ia bersandar latar sejarah.

Isu timbul apabila penjaring sebenar ialah James Wong, seorang Cina berjersi nombor sembilan tetapi dalam filem itu, gol kemenangan dijaringkan watak Ali, seorang Melayu memakai jersi nombor sepuluh.

Kedua, dalam babak kemenangan Malaysia ke atas Korea Selatan dengan jaringan 2-1, dipinda menjadi 3-2.

Kebarangkalian hujah pembuat filem akan sama seperti filem Tanda Putera. Iaitu, perbezaan (perubahan) itu bertujuan untuk menghasilkan lebih ‘drama’ atau dalam istilah filem kesan ‘sinematik’.

 

Garis kreativiti dan fakta sejarah 

Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam isu seperti itu kerana ruang perbincangan terbuka untuk dibincangkan.

Namun, saya beranggapan isu seperti ini boleh dijadikan bahan perbincangan umum tentang bagaimana sebenarnya bentuk filem sejarah yang diadun sempurna dengan kesan dramatik mahupun kesan sinematik.
Dengan kata lain, di manakah ruang atau garis antara fakta dan fiksyen dalam karya seni?

Masyarakat hari ini semakin peka dengan elemen sedemikian, sewajarnya kesempatan itu diambil untuk pembuat filem membawa perbicangan ke khalayak.

Mungkin, beberapa filem popular Hollywood boleh dijadikan perbandingan. Sebagai contoh Titanic (1997) yang diarah James Cameroon, Schindler’s List (1993). Black Hawk Down (2001), Lawrence of Arabia (1962) dan Kingdom of Heaven (2005).

Pembuat filem harus memanfaat isu itu sebagai ruang untuk memberi pendedahan kepada masyarakat tentang isu tersebut. Selain menghiburkan penonton, wacana juga boleh menambah pengetahuan umum mengenai kreativiti dan ekspresi.

Kecualilah, jika pembuat filem tiada hujah untuk dibincang dengan masyarakat, memang mereka tidak akan sanggup berwacana menerangkan kerja seni mereka.

Jadi, antara Tanda Putera dan Ola Bola, di manakah wacananya?

Saya bukan pakar dalam filem tetapi seni pada asasnya tetap sama. Ia mampu memberi inspirasi kepada khalayak. Jadi, gunakanlah peluang ini.

 

* Mahdzir Ibrahim, Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP Johor.