Rencana

Lim Kit Siang – insan di sebalik ahli politik

 

*Tulisan ini merupakan teks ucapan oleh Kerk Kim Hock, mantan Setiausaha Agung DAP pada majlis makan malam ulang tahun ke-75 Lim Kit Siang yang diadakan di Ballroom Matahari, Equatorial Hotel, Pulau Pinang pada Sabtu Februari 20, 2016

 

Pertama sekali, izinkan saya merakamkan ucapan terima kasih saya kepada Guan Eng dan adik-beradiknya kerana menjemput saya dan keluarga saya ke majlis yang sangat istimewa ini untuk meraikan ulang tahun 75 bapa tercinta mereka.

Sejak berulangnya kanser saya pada tahun lepas, aktiviti mengimbau kenangan telah menjadi sebahagian penting dalam hidup saya, dan acara malam ini pasti akan menambah banyak kenangan indah.

Sesungguhnya sambutan ulang tahun ke-75 merupakan sebuah acara bersejarah justeru biarlah saya mengucapkan tahniah kepada orang yang kita raikan malam ini, yang masih kuat pada usia di mana orang lain pastinya sudah mahu berhenti dan bersara.

kerk kim hock

Kerk Kim Hock

Tetapi seperti kata orang: ‘Age is an issue of mind over matter. If you don’t mind, it doesn’t matter.’ Apa-apa pun, Kit Siang masih muda berbanding dengan Nelson Mandela yang berusia 76 tahun apabila beliau menjadi Presiden Afrika Selatan pada tahun 1994.

Kit Siang tidak dikurniakan kedudukan yang tinggi atau harta yang banyak tetapi kerana perjuangannya yang tidak mementingkan diri sendiri selain pengorbannya yang besar, Tuhan telah mengurniakannya lebih daripada 2.3 bilion saat hidup! (75 tahun jangka hayat adalah lebih daripada 2.3 bilion saat).

Tidak syak lagi bahawa beliau akan dikenali dalam sejarah sebagai salah seorang negarawan terbesar Malaysia.

Memetik kata Mandela, “Apa yang penting dalam kehidupan bukanlah hakikat bahawa kita semata-mata telah hidup. Apa yang penting ialah perbezaan yang telah kita lakukan terhadap kehidupan orang lain yang akan menentukan kepentingan perjalanan hidup kita. ”

Tiada siapa yang boleh menafikan perubahan yang telah dibawa oleh Kit Siang kepada Malaysia dan meraka yang merindukan sebuah negara yang lebih baik untuk generasi akan datang.

Menurut Martin Luther King Jr, aktivis hak asasi manusia, ukuran utama seorang lelaki bukanlah di mana dia berdiri di saat-saat yang selesa dan mudah, tetapi di mana dia berdiri pada saat-saat mencabar dan penuh kontroversi. Kit Siang adalah satu contoh klasik lelaki tersebut.

 

Kit Siang lah yang paling kuat berjuang

Ketika DAP meraikan ulang tahun ke-50 tahun ini, Kit Siang pasti boleh berbangga menyaksikan parti kian kukuh dan telah menjadi obor harapan rakyat. Beliau selayaknya menjadi orang yang paling bangga malam ini kerana beliau adalah pemimpin DAP yang telah berjuang dengan paling gigih demi demokrasi, keadilan, kesaksamaan dan perpaduan nasional yang tulen dan beliau jugalah sebab utama mengapa DAP telah dapat terus hidup dalam saat paling gelap dan menewaskan segala ujian dan tribulasi yang berterusan.

 

Ramai pemimpin dan ahli-ahli telah menderita serta berkorban demi perjuangan DAP. Begitu juga pasangan dan keluarga masing-masing dengan pelbagai cara. Saya masih ingat apabila kedua-dua Kit Siang dan Guan Eng telah ditahan di bawah ISA pada tahun 1987 selama 18 bulan.

Sebagai orang yang telah membantu untuk memandu ahli keluarga Kit Siang ke Kem Tahanan Kamunting setiap minggu selama 18 bulan, saya tahu berapa banyak penderitaan yang mereka tanggung.

Malam ini, kita mempunyai peluang untuk mengucapkan jutaan terima kasih bukan hanya kepada Kit Siang, tetapi juga kepada orang yang sama-sama luar biasa yang telah menjadi andalan kekuatan beliau – Puan Lim Kit Siang. Mari kita tunjukkan penghargaan kepada beliau atas kerelaan berkongsi suami dan ahli keluarga beliau bersama parti, rakyat dan negara.

Lima tahun yang lalu, dalam satu wawancara video sempena sambutan ulang tahun ke-70 Kit Siang, saya menyifatkan Kit Siang sebagai yang terbaik daripada kalangan pemimpin DAP yang terbaik.

Malam ini saya akan katakan, dan saya percaya ramai daripada anda akan bersetuju dengan saya bahawa beliau adalah pemimpin terhebat DAP sepanjang zaman.

Kit Siang yang berani dan berpandangan jauh bukan sahaja seorang genius politik tetapi juga seorang gergasi politik yang bertahan lama. Kepetahan beliau di Parlimen dan di ceramah-ceramah, keupayaannya untuk mengetengahkan isu-isu tanpa henti dalam media, serta kesedaran politik yang bernas telah dikenali ramai. Tetapi siapa sebenarnya Kit Siang di sebalik sosok yang hebat itu?

 

Kit Siang benar-benar cintakan Malaysia dan seluruh rakyatnya

Kit Siang telah dicerca dalam pelbagai cara malah dituduh sebagai anti-Melayu. Tetapi sejak saya menyertai parti itu pada tahun 1986 hingga ke hari ini, saya tidak pernah mendengar dia katakan, sama ada secara peribadi atau di khalayak ramai, sebarang prasangka atau serangan terhadap orang Melayu.

Beliau amat komited untuk membantu semua kaum dan tidak pernah ragu-ragu untuk meneroka kawasan di mana DAP tidak mempunyai sokongan, bahkan ke dalam tempat-tempat yang dilihat sebagai kawasan musuh.

Sebagai contoh, pada tahun 1990, beliau mengetuai delegasi pemimpin DAP ke Felda Gelanggi 4 di Pahang, Felda Kampung Palong 9 di Negeri Sembilan dan Felda Taib Andak di Johor untuk memperjuangkan nasib peneroka Felda yang menghadapi beberapa masalah.

Perjuangan Kit Siang untuk semua rakyat Malaysia telah dirakam sejarah dan tidak ada keraguan bahawa beliau benar-benar cintakan Malaysia dan seluruh rakyatnya. Ini sebabnya mengapa beliau dianggap sebagai wira negara di kalangan rakyat Malaysia yang berfikiran waras.

Dalam membantu rakyat, beliau telah menunjukkan bahawa beliau malah bersedia untuk membahayakan nyawanya.

Ketika wabak virus Nipah Encephalitis di Bukit Pelanduk, Kit Siang mengambil risiko untuk masuk ke kampung di Negeri Sembilan untuk bertemu dengan para penternak khinzir. Kami pergi ke kampung selepas menggunakan bahan pencegah nyamuk dan memakai baju lengan panjang, sambil berfikir bahawa virus tersebut merebak melalui gigitan nyamuk kerana itulah yang dikatakan oleh pihak berkuasa.

Kami bernasib baik kerana kami tidak pergi berhampiran kandang khinzir kerana selepas itu dikhabarkan bahawa penyakit ini tidak merebak melalui gigitan nyamuk tetapi oleh nafas babi. Seramai 108 orang terkorban akibat wabak tersebut.

Sebelum itu pada tahun 1986, terdapat khabar angin bahawa Kit Siang mungkin akan dibunuh, bahkan sebenarnya pada satu hari wujud khabar angin bahawa Kit Siang telah ditembak mati. Beberapa pemimpin parti kanan kemudian mencadangkan supaya parti menyediakan pengawal peribadi demi keselamatannya. Tetapi beliau tidak dapat menerima idea tersebut. Ini adalah seorang lelaki yang tidak takut mati.

 

Kit Siang tidak melupakan bekas rakan-rakan

Ramai veteran parti yang telah bersara mengingati beliau sebagai orang yang tidak melupakan bekas rakan-rakan. Pada tahun 2011, Kit Siang mengalami jangkitan mata yang serius selepas pembedahan katarak. dan ketika itu pejuang pendidikan Cina DAP Chian Heng Kai telah meninggal dunia. Dari segi perubatan, memang tidak digalakkan untuk Kit Siang berjalan jauh semasa tempoh pemulihan, tetapi beliau tetap berkeras untuk menempuh perjalan jauh dari Pulau Pinang ke Muar bagi memberi penghormatan terakhir kepada Heng Kai.

Sejak saya bersara daripada politik pada tahun 2004, Kit Siang tidak pernah gagal untuk menjawab panggilan telefon saya atau menelefon kembali secepat mungkin jika terlepas panggilan saya. Dan sejak kembalinya kanser saya pada Julai tahun lepas, Kit Siang telah melawat saya sebanyak lima kali. Ini adalah cerminan sikap prihatin dan penyayang Kit Siang.

 

Beberapa tahun lalu apabila seorang pemimpin DAP keluar dan menyerang parti, Kit Siang memilih untuk tidak bertindak balas. Apabila saya bertanya apa sebabnya, beliau menjawab bahawa orang itu telah banyak menyumbang kepada parti. Pada tahun 80’an apabila seorang lagi bekas pemimpin yang keluar DAP dan menyertai parti lain, jatuh sakit dan hampir meninggal dunia, Kit Siang pergi untuk berjumpa dengannya sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.

Ini adalah sifat pemaaf Kit Siang.

 

Kit Siang terlalu cemerlang untuk digantikan

Kit Siang mempunyai kualiti-kualiti lain yang mengagumkan. Beliau adalah seorang yang mudah yang tidak mendesak dalam soal penginapan atau makan minum yang diatur oleh cawangan DAP apabila beliau bergerak ke seluruh negara.

Dan kesanggupan dan keupayaannya untuk belajar perkara-perkara baru adalah yang terbaik dalam Parti. Apabila e-mel dan twitter muncul ke dunia, beliau adalah orang pertama yang berusaha mendapatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan.

Ramai orang di luar DAP mungkin tidak tahu bahawa Kit Siang begitu dihormati dalam Parti bukan hanya kerana beliau adalah seorang pemimpin politik yang cemerlang, tetapi juga kerana banyak sikapnya yang luar biasa.

Beliau benar-benar orang yang hebat, luar biasa dan unik.

Itulah sebabnya beliau boleh menjadi Setiausaha Agung Parti selama 30 tahun kerana mereka yang tidak bersetuju dengan beliau pun turut mengaku bahawa beliau adalah terlalu hebat untuk diganti.

 

Kit Siang keramat hidup

David Heenan, pengarang Leaving on Top: Graceful Exits for Leaders, menyenaraikan empat kategori pemimpin: ‘keramat hidup’ yang tidak mempunyai keperluan untuk berhenti, pemerintah zalim yang makin tua dan enggan menyerah, mereka yang membuat kemunculan ke zaman keagungan dan mereka yang beransur secara anggun pada waktu yang tepat.

Kit Siang pastinya seorang ‘keramat hidup’. Jadi, tidak ada keperluan untuk beliau untuk berhenti, selagi beliau masih, seperti katanya di rumah saya dua kali minggu lalu: ‘bergerak cergas’. Dan beliau pastinya akan bergerak cergas untuk tempoh yang panjang pada masa akan datang.

Julai lalu apabila kanser rektal saya berulang setelah 13 tahun bebas daripada kanser, Kit Siang telah menghantar saya mesej ini: “Memang mengejutkan tetapi kita tidak boleh membiarkan ia membebankan kita. Lagipun kehidupan adalah usaha menakluk tak tertundukkan. Mari terus berjuang”.

Ya, saya akan terus berjuang dan menantikan ulangtahun ke-80 Kit Siang dan ulangtahun bersejarah berikutnya. -Roketkini.com