Berita

Keluar dari jalan mati politik atau Malaysia jadi negara gagal

PULAU PINANG 29 FEB: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menegaskan bahawa rakyat, sama ada di tampuk kuasa atau di luar lingkungan kuasa harus keluar dari jalan mati (cul-de-sac) politik semasa agar Malaysia tidak terus menjadi sebuah negara gagal.

Kit Siang berkata, jika rakyat masih bersikap mementingkan diri sendiri dan hanya menegakkan kepentingan parti politik masing-masing, mereka terpaksa menunggu Pilihan Raya Umum ke-14 untuk mengubah keadaan politik negara yang semakin memburuk di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Tetapi ia bukan cara yang paling tepat, kerana Malaysia akan terus menjunam untuk dua tahun berikutnya ke arah negara yang gagal dan dipenuhi penyangak,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk pelbagai skandal melibatkan kepimpinan tertinggi negara yang meletakkan Malaysia di kedudukan ketiga dalam senarai ‘Skandal Rasuah Terburuk 2015’ yang dikeluarkan laman web antarabangsa, Foreignpolicy.com pada 29 Disember tahun lalu.

Di bawah pemerintahan Najib, imej negara terjejas teruk ekoran isu ‘derma’ 2.6 bilion yang menjadi tumpuan media antarabangsa dan tempatan.

Justeru, Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, beliau akan meneruskan kempen ‘Selamatkan Malaysia’, sebuah kempen kesedaran yang merentasi kaum, agama, wilayah, dan fahaman politik bagi mengelakkan negara terus menjunam menjadi negara gagal.

“Adakah negara bersedia untuk penyusunan semula tenaga progresif dan kuasa politik yang patriotik untuk menyelamatkan Malaysia, sekaligus mengembalikan keyakinan terhadap visi membentuk sebuah Malaysia yang bersatu, inklusif, sederhana, demokratik dan makmur?

“Minggu-minggu berikutnya akan memberi jawapan kepada persoalan ini,” katanya. -Roketkini.com