Berita

Kerana bantu veteran Sarawak Rangers, DAP dituduh komunis

SRI AMAN, 29 FEB: DAP merupakan sebuah parti sosial demokrasi yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan Malaysia, dan bukannya komunis seperti yang sering difitnah oleh media dan cybertrooper pro-Barisan Nasional serta pecacai Datuk Seri Najib Razak.

Demikian tegas Naib Pengerusi DAP Sarawak, Leon Jimat Donald, yang mengecam sebuah laman sesawang pro-BN www.pru14.tv yang dilihat cuba mengelirukan orang ramai dengan mengaitkan DAP dengan fahaman komunis dalam rencana berjudul “Mengenang Jasa ‘Iban Tracker’ Simanggang N27 Sudah Pastinya Menolak Fahaman Komunis Sosialis DAP” yang disiarkan pada 25 Februari lalu.

“Ini adalah dakyah yang akan dimainkan media pro-BN setiap kali menjelang pilihan raya. DAP sentiasa menjadi mangsa tuduhan fitnah. Dulu dia kata DAP parti Kristian, selepas itu dia tuduh DAP komunis dan sebagainya. Mereka semakin takut pengaruh DAP,” kata Leon.

Menurutnya, ahli-ahli DAP tidak pernah mengangkat senjata dan memberontak melawan kerajaan, malah DAP pernah dikritik golongan komunis kerana menerima sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

Beliau berkata, fitnah cybertooper yang menyokong BN dan Najib sebenarnya berniat mahu mengelirukan rakyat Sarawak, khususnya kaum Dayak yang berjuang menentang komunis.

Kata Leon, mantan anggota Sarawak Rangers, anggota keselamatan dan pejuang yang menentang komunis kini mula memberi sokongan mereka kepada DAP kerana nasib mereka diabaikan oleh kerajaan.

“Veteran Sarawak Rangers yang berjuang mempertahankan negara, mempertahankan Sarawak dari ancaman komunis sekarang tidak segan silu dan takut menjadi penyokong kuat DAP kerana mereka lihat DAP benar-benar membantu dan banyak membawa aduan mereka ke peringkat yang lebih tinggi,” ujar beliau.

Pengerusi DAP Cawangan Sri Aman itu menjelaskan, pihaknya banyak menguruskan aduan berhubung tuntutan pampasan dan bantuan yang masih tidak tertunda dan belum ditunaikan kerajaan BN kepada mantan anggota-anggota keselamatan negeri itu.

“Antaranya melibatkan tuntutan pampasan RM3,000 kepada Koperal (bersara) Billy Munan, permohonan perumahan PPRT balu kepada mantan Renjer, Dayang Hajar Abang Mansur, kes tuntutan pampasan Sarjan Mejar (bersara) Sempurai Seman dan banyak lagi,” kata beliau.

Leon menjelaskan, DAP kini semakin diterima di Sarawak memandangkan parti itu bersungguh-sungguh memperjuangkan isu dan masalah yang telah lama diabaikan kerajaan BN.

“Melalui khidmat masyarakat yang aktif dan program seperti Impian Malaysia, kita dapat melihat DAP semakin diterima masyarakat setempat.

“Isu parti dari Semenanjung atau bukan sudah tidak timbul lagi kerana isu asas yang menjadi keutamaan kita adalah menyelesaikan masalah ekonomi rakyat,” tambah beliau. – Roketkini.com