Berita

Ketua Polis Negara digesa keluar dari pemikiran lapuk era Perang Dingin

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Tuduhan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, kononnya kursus Marxisme anjuran Parti Sosialis Malaysia adalah usaha untuk menghidupkan kembali gerakan komunis di negara ini adalah tidak masuk akal dan sangat memalukan.

Setiausaha Biro Antarabangsa Sosialis Muda DAP (DAPSY), Howard Lee Chuan How, berkata, DAP yang tetap menolak komunisme menganggap tindakan Khalid yang mahu mematikan diskusi tentang Marxisme dengan menuduhnya sebagai mempromosikan komunisme, serta arahannya untuk menutup ruang bersuara, menunjukkan beliau condong kepada sifat seorang fasis.

“Perang ideologi telah runtuh bersama keruntuhan Tembok Berlin (pada 1989)…KPN perlu bangun dari tidurnya yang dibuai mimpi Perang Dingin dan kembali kepada realiti 2016 di mana kekuatan politik kiri dan kanan perlu bersatu untuk menentang ekstremisme.

“Sebagai ketua polis, kenyataan-kenyataan beliau yang tidak masuk akal itu tidak boleh diterima,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Tirana, Albania.

Howard berada di Tirana untuk disahkan kemenangannya tanpa bertanding sebagai Presiden Kesatuan Antabangsa Angkatan Muda Sosialis (International Union of Socialist Youth – IUSY), sebuah badan induk pertubuhan politik anak muda yang terbesar di dunia.

Menurutnya, di Tirana, beliau telah bertemu dengan kira-kira 200 pemimpin muda yang mewakili lebih 60 organisasi dari 50 negara yang kesemuanya terkejut dengan kenyataan KPN dan telah mengutuk tindakan menyekat kebebasan berdiskusi ilmu di Malaysia.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Pinji serta Ketua DAPSY Perak berkata, Khalid tidak berhak untuk campurtangan dalam hal-ehwal ideologi politik kerana itu bukan tugas polis.

Tambah beliau, kenyataan dan arahan Khalid sendiri bertujuan menekan PSM dan kumpulan yang menentang kapitalisme, mencerminkan berat sebelahnya beliau kepada parti pemerintah yang mengamalkan sistem kapitalisme kroni.

Sehubungan itu, Howard mengutuk tindakan KPN yang menyalahgunakan kuasa untuk menyekat kebebasan berwacana, serta mendesaknya menarik balik arahannya yang bersifat menekan dan menindas itu. – Roketkini.com