Berita

DAP mahu kerajaan hapus GST kerana hidup rakyat makin perit

IPOH, 2 MAC: DAP mengulangi seruan menggesa kerajaan menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi meringankan beban rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah di negara ini.

Timbalan Pengerusi DAP Perak, Sivakumar Varatharaju, berkata GST kini menjadi salah satu punca utama keperitan dan kesengsaraan rakyat dalam meneruskan kelangsungan hidup.

“Jika kerajaan tidak mahu berbuat demikian, GST itu sendiri akan menjadi paku terakhir untuk keranda UMNO-Barisan Nasional dalam pilihanraya umum ke-14,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pelaksanaan dasar yang membebankan oleh kerajaan UMNO BN, ditambah pula dengan pembusukan imej negara melalui skandal politik dan penyelewengan dana awam membabitkan pimpinan tertinggi parti itu, menyumbang kepada kemerosotan ekonomi negara yang kian parah.

Malah, Ahli Parlimen Batu Gajah itu berkata, natijah daripada kesilapan dasar berkenaan juga mengakibatkan pelabur asing di negara ini mula tidak yakin dengan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sehingga menyaksikan banyak kilang menutup operasinya di negara ini.

Katanya, pembabitan Najib dalam skandal berkaitan derma RM2.6 bilion serta skandal membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga mendapat perhatian dunia juga mengakibatkan negara dipandang serong oleh pelabur luar, sekaligus merencatkan pertumbuhan ekonomi negara, termasuk apabila nilai ringgit jatuh teruk sejak tahun lalu.

Sivakumar turut menyentuh isu membawa masuk 1.5 juta pekerja asing di negara ini yang disifatkannya sebagai tidak masuk akal di tengah-tengah kemerosotan ekonomi negara.

“Cadangan kerajaan untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja asing dari Bangladesh akan memberi kesan yang negatif kepada rakyat tempatan terutamanya dari segi peluang pekerjaan dan gaji,” katanya yang turut membidas tindakan itu dibuat ketika ramai rakyat Malaysia diberhentikan kerja.

Semalam, gergasi minyak dan gas negara Petronas dilaporkan akan membuang lebih 1,000 kakitangannya di bawah rancangan penstrukturan semula berikutan kejatuhan harga minyak mentah dunia. – Roketkini.com