Berita

Harga roti canai bakal naik selepas subsidi tepung gandum dihapuskan

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Dalam keperitan menanggung tekanan ekonomi, kerajaan UMNO-BN dilapor media arus perdana akan menghapuskan subsidi untuk tepung gandum seberat 25 kg yang akan dijual pada harga RM42 berbanding RM33.75 sebelum ini.

Membidas keras langkah yang membebankan itu, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali, berkata tindakan itu mencerminkan ekonomi negara yang kian memburuk di bawah pemerintahan parti itu sehingga memaksa subsidi berkenaan ditarik semula.

Lebih buruk lagi, katanya, tindakan itu memberi kesan terus kepada rakyat yang tergolong sebagai berpendapatan rendah dan sederhana yang bergantung banyak terhadap makanan yang diproses daripada bahan berkenaan.

“Bagi saya, ini adalah satu kesan langsung yang diterima oleh rakyat sebagai pengguna terhadap krisis ekonomi yang melanda negara.

“Jika kita bercakap soal skandal besar yang berlaku dalam negara seperti 1MDB dan dana besar yang tak masuk akal mengalir masuk ke akaun peribadi Perdana Menteri, namun isu ini adalah lebih mudah difahami rakyat bahawa negara sedang mengalami ekonomi yang teruk.

“Rakyat yang sebelum ini gemar memakan roti canai dan kuih muih di warung-warung setempat kini akan mula merasai keperitannya,” katanya kepada Roketkini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun kerajaan semalam turut mengumumkan harga petrol RON95 turun 10 sen, langkah itu tidak akan memberikan kesan terhadap harga barangan yang sedia ada naik sebelum ini.

“Biarpun harga petrol diumumkan turun beberapa hari lalu, kenaikan harga barangan tidak mudah sama sekali mengalami penurunan apabila sekali ia telah dinaikkan harga.

“Dan kini tepung pula yang menjadi bahan asas kepada masakan ditarik subsidi, pastilah rakyat bawahan yang akan menjadi mangsa utama merasai kepedihannya,” katanya. – Roketkini.com