Berita

DAPSY: Pendirian golongan muda tidak yakin dengan Najib adalah wajar

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Golongan muda di negara ini semakin berani menyatakan secara terbuka rasa tidak yakin mereka terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang membawa negara ke arah kehancuran berikutan pelbagai skandal.

Terbaru, sekumpulan anak muda yang menggelar diri mereka sebagai ‘Challenger’, dalam satu kenyataannya jurucakapnya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, semalam yang dipetik media sebagai berkata mereka sudah hilang kepercayaan terhadap Najib.

Saddiq yang dikatakan seorang jaguh debat dilaporkan berkata: “Kami tidak akan menutup mulut sedangkan masa depan kami sedang dirompak” – dipercayai merujuk kepada salah guna dana awam dan “derma” RM2.6 bilion yang melibatkan Najib.

Mengalu-alukan pendirian kumpulan anak muda itu, Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY) Kebangsaan, Wong Kah Woh, berkata setelah pelbagai skandal kewangan dan salah guna dana awam dilakukan pemimpin tertinggi negara itu, adalah wajar bagi rakyat menolak Najib.

Ahli Dewan Undangan Negeri Canning itu berkata, tindakan Perdana Menteri yang melumpuhkan pelbagai agensi kerajaan demi menutup kesalahan yang dilakukannya mengakibatkan keyakinan rakyat terhadap pemimpin nombor satu negara itu semakin terhakis.

“Skandal RM2.6 bilion dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah berlaku sekian lama. Sebenarnya tidak ada seorang pun yang mempunyai pemikiran yang logik akan percaya bahawa tidak ada salah laku yang terlibat dalam isu berkenaan.

“Jabatan Peguam Negara, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan segala agensi yang terlibat dalam penyiasatan dilumpuhkan. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat. Apa yang kita boleh harapkan daripada kerajaan apabila Najib sanggup untuk berbuat begitu?

“Kami mengalu-alukan usaha dan pendirian untuk mendapatkan kebenaran dalam skandal terbabit. Najib sebenarnya pada hari ini merupakan penghalang terbesar kemajuan negara, dan pemusnah ekonomi negara, yang mana skandal itu menyekat keyakinan pelabur-pelabur asing,” katanya kepada Roketkini.

Justeru, bagi menyelamatkan negara daripada terus hancur dibinasakan pemimpin yang tidak bertanggungjawab, Kah Woh menyeru supaya seluruh rakyat, khususnya anak muda untuk bangkit menentang amalan korup pemerintah berkenaan.

“Anak-anak muda akan menentukan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 serta Pilihanraya Negeri Sarawak yang akan datang. DAPSY menyeru supaya anak muda bangkit dan menjadi penentu masa depan negara,” katanya. – Roketkini.com