Berita

Skandal 1MDB: DAP gesa Pengerusi PAC henti cari alasan tak buat mesyuarat

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Berikutan mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) ditangguhkan pada bulan lalu kerana tidak cukup kuorum, DAP mahu mesyuarat pada bulan ini yang akan membincangkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadiri semua anggota PAC.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menggesa Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin memberi jaminan bahawa akan ada kehadiran 100 peratus ahli PAC pada mesyuarat yang dijadual 4 dan 7 Mac ini.

Ia berikutan mesyuarat yang sepatutnya dijalankan pada 24 dan 25 Februari lalu ditangguh atas alasan ‘kebanyakan ahli sedang berada di luar negara’, justeru menimbulkan persoalan sama ada perkara sama akan berlaku pada mesyuarat kali ini.

“Hasan seolah-olah cuba mengelak dari menjawab persoalan saya berhubung kehadiran 100 peratus ahli PAC pada mesyuarat dijadual esok (Jumaat) dan hari Isnin.

“Bagaimana Hasan boleh bertindak sewenang-wenangnya menunda mesyuarat lalu atas alasan tiada kehadiran penuh ahli jika beliau tidak boleh memberi jaminan berhubung 100 peratus kehadiran dalam mesyuarat akan datang?” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ia merupakan kali kedua pembentangan laporan audit berhubung 1MDB kepada PAC ditunda berikutan agensi itu sepatutnya menerima laporan berkenaan di pertengahan Disember tahun lalu tetapi ditangguhkan kononnya atas permintaan Audit Negara.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata tindakan Hasan itu menghilangkan keyakinan ahli parlimen dan rakyat bahawa PAC akan dapat memainkan apa-apa peranan positif dalam mendedah skandal berkenaan hingga ke akar umbi.

“Pemimpin UMNO dan ketua agensi kerajaan seperti Hasan seolah-olah mengamalkan sikap ‘kes telah ditutup’ berhubung skandal RM55 bilion 1MDB dan derma RM2.6 bilion melibatkan Perdana Menteri itu. Sikap itu harus diubah pada sidang Parlimen Isnin depan.

“Malah, isu itu kini menjadi lebih besar apabila banyak pendedahan baru dari dalam dan luar negara berhubung skandal berkenaan dalam tempoh dua bulan ini,” katanya.

Skandal kewangan semakin menggugat pentadbiran Datuk Seri Najib dengan tuduhan terbaru media antarabangsa Wall Street Journal yang melaporkan bahawa wang ‘derma’ yang diterima Perdana Menteri bukan sekadar RM2.6 bilion tetapi mencapai lebih RM4 bilion, dan dipercayai dari sumber dalam Malaysia, bukannya dari Arab Saudi. – Roketkini.com