Berita

Sarawak: BN lama perintah, negeri masih mundur

KUCHING, 3 MAC: Walaupun sudah lebih setengah abad memerintah, Sarawak di bawah kekuasaan Barisan Nasional masih merupakan negeri yang mundur berbanding negeri-negeri lain meskipun kaya dengan sumber asli.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen DAP Stampin, Julian Tan Kok Ping, menempelak dakwaan seorang pemimpin Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Idris Buang yang mendakwa cabaran DAP supaya parti itu tidak menggunakan logo BN dalam pilihanraya negeri akan datang sebagai tidak peduli terhadap nasib rakyat Sarawak.

“Saya terkejut dengan tuduhan beliau yang dilihat cuba mengelirukan rakyat. Kegagalan membela kebajikan rakyat bukan sahaja dari kerajaan persekutuan BN tetapi juga dari kerajaan negeri.

“Malah sebab itu selama ini DAP terus menjuarai isu-isu melibatkan pembelaan terhadap kepentingan dan kebajikan rakyat Sarawak khususnya mereka di luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam satu laporan media sebelum itu, Idris mendakwa cabaran DAP supaya komponen BN Sarawak  tidak menggunakan logo BN merupakan sebuah perangkap yang boleh menjerumuskan rakyat Sarawak kepada kesusahan sambil menegaskan bahawa isu yang melanda UMNO di Semenanjung tidak kena mengena dengan Sarawak.

“Apa yang beliau tidak faham ialah apa yang berlaku bukan sekadar pertelingkahan dalaman tetapi mempunyai kesan besar terhadap rakyat seluruh negara dan dunia. Beliau cuba mengalihkan perhatian rakyat.

“Perdana Menteri yang merupakan pengerusi Barisan Nasional (dan presiden UMNO) telah terpalit dengan banyak dakwaan salah laku dan skandal  mega termasuk 1MDB, skandal derma RM2.6 bilion dan  dakwaan terbaru melibatkan USD1 bilion dimasukkan dalam akaunnya,” ujar beliau.

Dengan segala isu yang timbul, kata Julian, ia secara langsung memberi kesan terhadap keyakinan pelabur dalam dan luar negara sekaligus memberi impak negatif terhadap pertumbuhan negeri.

“Semasa Perdana Menteri Najib Razak melawat Sarawak, beliau dipuji oleh Ketua Menteri Adenan Satem dengan mengatakan bahawa beliau merupakan Perdana Menteri yang terbaik kerana hatinya dekat dengan Sarawak.

“Tetapi adakah kita lupa bahawa beliau (Adenan) juga mengkritik peruntukan Bajet 2016 yang disifatkannya tidak mencukupi untuk (Sarawak) bersaing dengan Semenanjung?” soal beliau.

Bagi Julian, satu undi untuk BN Sarawak adalah satu undi untuk BN Najib yang telah menyebabkan negara dilanda krisis kerana skandal kewangan dan salah urustadbir negara oleh BN pimpinan Najib.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata,  jika Najib benar-benar jujur kepada Sarawak, beliau sepatutnya memberi peruntukan yang mencukupi dan bukan sekadar datang dan menabur janji.

“Tetapi, apa yang berlaku, janji hanya tinggal janji. Begitulah yang banyak terjadi.

“Mereka hanya bercakap tetapi tidak mempunyai kemampuan untuk menunaikan segala janji,” ujarnya lagi. – Roketkini.com