Berita

Gabungan raya Selamatkan Malaysia bukan barua atau boneka sesiapa

CHERAS, 6 MAC: Pencacai dan cybertrooper UMNO-Barisan Nasional (BN) akan mendakwa apa sahaja untuk menghancurkan gerakan Selamatkan Malaysia termasuk menuduh mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad sebagai boneka DAP.

Hakikatnya, gabungan raya Selamatkan Malaysia yang diterajui parti oposisi utama, kumpulan masyarakat sivik, individu dan Dr Mahathir adalah berdasarkan satu matlamat utama untuk menyingkirkan Perdana Menteri Najib Razak, sekaligus memulihkan semula keadaan ekonomi, politik dan sosial negara.

“Saya boleh bersetuju dengan Tun Mahathir yang persoalkan bagaimana sebanyak RM4.2 bilion boleh berada dalam akaun peribadi Najib,” demikian kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam Forum Kedai Kopi di Taman Bukit Segar sebentar tadi.

Menurut beliau, perkara paling lucu dan tidak boleh diterima sama sekali apabila DAP sekali lagi dituduh cuba  menjadikan rakan-rakan gabungan raya Selamatkan Malaysia sebagai boneka mereka.

“Semasa DAP jalinkan kerjasama dengan PAS, Datuk Seri Hadi Awang dituduh menjadi boneka Lim Kit Siang. Bukan itu sahaja, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pernah didakwa menjadi boneka DAP.

“Sekarang, giliran Tun Mahathir pula dituduh jadi boneka DAP. Ini adalah satu pembohongan terang-terangan dan tidak boleh diterima,” katanya di hadapan kira-kira lebih 200 hadirin.

Menegaskan bahawa gabungan raya Selamatkan Malaysia adalah demi menyingkirkan pemimpin yang rasuah, Kit Siang menjelaskan hanya wujud tiga kebarangkalian dalam gabungan bersejarah yang dilancarkan 4 Mac itu.

“Pertama, jika mereka tuduh saya gunakan Tun Mahathir, adakah saya begitu berkuasa untuk mempengaruhi beliau? Keduanya anda juga boleh menuduh Mahathir menpergunakan saya dan ketiganya, kami saling memerlukan dan saling mempergunakan untuk menyelamatkan Malaysia!” ujarnya.

Beliau berkata, kerjasama bersejarah ini berjaya diwujudkan atas semangat patriotik kerana mahu melihat Impian Malaysia mencapai kenyataan.

“Ia tidak ada kena mengena dengan orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazandusun, tidak ada kena mengena dengan Islam, Buddha, Kristian, Hindu, tetapi gabungan ini adalah berkaitan dengan kita semua rakyat Malaysia,” ujar Kit Siang.

Sebelum itu, dalam sebuah kenyataan, Kit Siang berkata, Deklarasi Rakyat oleh rakan-rakan gabungan raya Selamatkan Malaysia menyebabkan Putrajaya panik.

Ekoran itu, Najib telah memanggil ahli Parlimen UMNO BN berkumpul di kediamannya semalam untuk pra-mesyuarat yang biasanya cuma diadakan sehari sebelum Parlimen bersidang atau pada hari pertama sidang Parlimen.

“Deklarasi Rakyat merupakan seruan kebangsaan untuk memanggil seramai mungkin rakyat untuk bersatu di bawah platform sama demi menyelamatkan Malaysia daripada terus menjunam menuju negara gagal,” katanya.-Roketkini.com