Berita

Undi luar bandar Sarawak jadi penentu perubahan Malaysia

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Jika Pakatan Harapan gagal mendapat sokongan pengundi Bumiputera Sabah dan Sarawak serta orang Melayu Semenanjung, khususnya di kawasan luar bandar, dalam Pilihan Raya Umum akan datang, cita-cita mentadbir Putrajaya tidak akan tercapai.

Jika cita-cita itu gagal, maka tidak akan berlaku perubahan di Malaysia, dan penderitaan rakyat pelbagai kaum dan agama akan berterusan, kata Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok.

Beliau berkata, menyedari hakikat itu, DAP telah mengambil inisiatif awal sejak PRU lalu melalui inisiatif Impian Malaysia – Impian Sarawak dan Sabah yang membantu menyediakan infrastruktur asas kepada penduduk pedalaman.

Pada masa sama, katanya, DAP juga gigih berusaha melawan fitnah yang disebarkan kepada orang Melayu di Semenanjung melalui usaha menjelaskan realiti sebenar, serta melaksanakan pelbagai inisiatif kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor, yang lebih adil dan saksama.

“Hari ini semakin ramai Bumiputera Sarawak telah menyertai DAP. Ini membolehkan DAP bersedia untuk bertanding di kawasan luar bandar dalam Pilihanraya Negeri Sarawak (PRN) yang akan datang ini,” katanya di majlis makan malam amal untuk dana PRN Sarawak di sini malam kelmarin.

Ahli Parlimen Seputeh itu juga berkata, bagi menyelamatkan Malaysia, DAP dan Pakatan Harapan memerlukan undi rakyat Sarawak, khususnya pengundi luar bandar.

Beliau mengingatkan semua pihak, terutamanya pengundi Sarawak, bahawa jika UMNO BN sekali lagi menang besar dalam PRN nanti, ia mencerminkan dasar dan cara pemerintahan Datuk Seri Najib Razak yang telah menimbulkan pelbagai krisis, akan berterusan.

“Malah, saya berani kata, jika Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem menang besar, bukan sahaja Najib akan mengaku rakyat yakin kepada pentadbirannya, saya percaya ada menteri-menteri UMNO akan bersorak gembira dengan mengatakan terbukti rakyat tak kisah tentang skandal 1MDB. Malah, Adenan akan memuji pentadbiran Najib.

“Saya menyeru rakyat Sarawak supaya tidak membenarkan undi mereka menjadi undi kepada Najib. Undilah pembangkang untuk Sarawak dan Malaysia yang lebih baik,” tambah beliau.

Teresa juga menolak anggapan kononnya Adenan adalah seorang pemimpin reformis kerana beliau sebenarnya tidak berani berkata benar di depan Najib dan kepimpinan Putrajaya.

Malah, katanya, tidak akan wujud reformis dalam BN kerana telah terbukti bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi sendiri telah mungkir semua janji reformasinya yang dibuat menjelang PRU 2004 sehingga menyebabkan rakyat menghukumnya pada PRU 2008.

Beliau menambah, Najib juga menabur pelbagai janji reformasi apabila menggantikan Abdullah tetapi pentadbirannya lebih teruk lagi kerana terlibat dengan pelbagai skandal, menggunakan undang-undang seperti Akta Hasutan untuk menutup mulut rakyat, dan menyekat akses The Malaysian Insider, walaupun kerajaan sejak zaman Mahathir berjanji akan membebaskan alam maya daripada kawalan.

“Cukuplah saya katakan bahawa BN bukannya parti untuk dipilih jika rakyat Sarawak dan (umumnya) Malaysia mahu negara yang lebih baik,” ujarnya. – Roketkini.com