Berita

Dua tahun selepas tragedi MH370, kerajaan masih membisu

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Walaupun tragedi kehilangan pesawat MH370 yang menggemparkan seluruh dunia sudah berlalu hampir dua tahun lalu, masih terdapat pelbagai persoalan yang masih tidak terjawab mengenai misteri kehilangan pesawat berkenaan.

Pengarah Pendidikan Politik DAP Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong, berkata meskipun kerajaan telah membelanjakan sebahagian besar wang pembayar cukai demi menyiasat kehilangan pesawat berkenaan, pentadbiran Datuk Seri Najib Razak masih tidak mendedah sepenuhnya keputusan hasil siasatan berkenaan kepada umum.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam menjelaskan, tragedi berkenaan adalah isu keselamatan negara yang perlu diambil perhatian yang tinggi bagi mengelakkan perkara yang sama berulang.

“Dunia masih mencari jawapan. Rakyat Malaysia juga mencari jawapan dan kami tidak akan terus berputus asa kerana ia adalah persoalan mengenai keselamatan negara seperti mana ia adalah kebimbangan untuk setiap keluarga mangsa.

“Mengapa ia adalah isu keselamatan negara? Kerana jika kita tidak mengatasi masalah akar kepada tragedi ini, ia akan berulang untuk masa yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Walaupun beliau dalam kapasiti sebagai pihak pembangkang sudah menyuarakan pelbagai persoalan mengenai isu berkenaan di luar mahupun di dalam Parlimen, persoalan terbabit tidak pernah diendahkan kerajaan.

“Saya sudah berkali-kali mendesak Parlimen supaya membentuk satu jawatankuasa pilihan berkaitan isu ini untuk menerbitkan Kertas Putih terhadap krisis itu yang menjejaskan bukan sahaja negara dan rakyat malah antarabangsa. Namun cadangan itu ditolak dua tahun lalu.

“Malah, saya juga meminta supaya pihak bertanggungjawab terhadap siasatan berkenaan mendedahkan keputusannya, termasuk Jabatan Penerbangan awam, tenteram polis dan juga Kumpulan Penyiasat Bersekutu.

Selain Laporan Interim yang diterbitkan selepas setahun tragedi berkenaan, tidak ada laporan selepas itu didedah kepada umum,” katanya.

Malah, kata Steven, selepas setahun Laporan Interim dikeluarkan kerajaan masih tiada tindakan diambil bagi memperbetulkan masalah yang berlaku.

“Selepas setahun laporan berkenaan dikeluarkan, apa yang berlaku terhadap isu kecuaian dan ketidakpatuhan yang ditimbulkan itu? tidak siapa tahu, meskipun pelbagai persoalan sudah diajukan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menuntut supaya kerajaan tidak berdiam diri mengenai tragedi berkenaan dan memberikan jawapan yang tepat kepada keluarga mangsa, malah bagi membersihkan nama juruterbang pesawat berkenaan, Kapten Zahrie Shah yang dituduh sebagai dalang kepada kehilangan pesawat itu.

Pesawat berkenaan yang membawa 239 orang termasuk 13 anak kapal itu hilang daripada radar kurang sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Semalam, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, yang bersolidariti bersama keluarga dan sahabat 239 mangsa MH370 dalam satu majlis peringatan di Publika di sini menjelaskan bahawa keluarga mangsa mahu pihak berkuasa tidak mengalah sehingga terjawab segala misteri yang menyelubungi tragedi itu.

“Satu persoalan yang mengganggu fikiran saya ialah kenapa misi mencari MH370 tidak diketuai oleh Malaysia, malah satu daripadanya diterajui oleh Australia, sedangkan yang terlibat adalah pesawat Malaysia.

“Ini adalah satu lagi contoh di mana Malaysia telah hilang kedudukannya di pentas global, hilang maruah dan kejayaan, di mana sepatutnya secara automatik Malaysia yang menerajui misi antarabangsa mencari pesawat MH370,” katanya dalam satu majlis ceramah dekat sini.

Menurutnya, kejayaan yang Malaysia dalam pelbagai bidang sejak beberapa dekad sebelum ini semakin merosot dan memalukan. – Roketkini.com