Berita

DAP mahu Dr M tebus kesalahan lalu, berjuang demi Malaysia

KUCHING, 7 MAC: Tun Dr Mahathir Mohamad yang sudi bekerjasama dengan pembangkang, NGO dan aktivis untuk menyingkirkan Najib serta memulihkan kemelut negara diminta menebus kesalahan dan kesilapannya masa lalu tanpa apa-apa niat tersembunyi.

“Saya berharap Tun Mahathir benar-benar berjuang kerana mahu melihat Wawasan 2020 beliau tercapai dan memberi kebaikan kepada seluruh rakyat Malaysia. Harap-harapnya Tun M dan pemimpin BN yang menyokong deklarasi kini di jalan yang betul.

“Namun, jangan hampakan harapan rakyat Malaysia. Mereka perlu berjanji bahawa tidak ada “udang di sebalik batu” atau sebarang agenda perkauman yang tersembunyi,” kata Setiausaha Publisiti Pemuda DAP Petra Jaya, Abdul Aziz Isa.

Menurutnya, Deklarasi Rakyat ditandatangani gerakan “Selamatkan Malaysia” semalam membuktikan bahawa pemimpin dan rakyat sanggup mengetepikan perbezaan ideologi politik, fahaman, kaum dan agama demi merubah Malaysia ke arah lebih baik, bukan sahaja untuk generasi hari ini tetapi juga generasi akan datang.

“Bagi saya, ia bukan lagi semata-mata soal parti politik, tetapi soal maruah dan kebanggaan negara. Apabila datang seruan seperti ini yang membawa kebaikan kepada negara tercinta, pengorbanan adalah perlu untuk menjamin masa depan lebih baik untuk generasi akan datang.

“Kadang-kala, ia adalah lebih baik untuk melupakan perbezaan bagi menurunkan seseorang yang telah merosakkan negara. Lebih baik berjuang bersama-sama daripada melawan pertempuran secara berseorangan.

“Oleh itu, langkah terbaik menurunkan Najib adalah melalui rakyat melaksanakan hak mereka dengan cara demokratik dan para pemimpin memainkan peranan dalam menyatukan rakyat atas satu kehendak bersama,” katanya.

Selain menuntut penyingkiran Najib, Deklarasi Rakyat juga menuntut penyingkiran semua pihak yang bersekongkol, pemansuhan semua undang-undang dan perjanjian baru yang melanggar hak asasi dan melemahkan dasar, serta pemulihan integriti institusi seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC). – Roketkini.com