Berita

Lantikan pengarah GLC: Luar atau tempatan, Pulau Pinang utamakan bakat setia

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Pelantikan pemimpin bukan anak kelahiran negeri ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bukanlah amalan baharu dan tidak sepatutnya menjadi isu yang boleh mengelirukan orang ramai.

Pengarah Perbadanan Bukit Bendera (Penang Hill Corporation – PHC), Zairil Khir Johari, berkata beliau perlu menjelaskan hal tersebut kerana timbul isu berhubung pelantikan Jurucakap DAP Mengenai Pelancongan dan Kebudayaan, Anthony Loke, sebagai salah seorang pengarah PHC semata-mata kerana beliau bukan anak Pulau Pinang

“Walaupun penting untuk menyediakan ruang dan peluang kepada wakil Pulau Pinang, kita tidak sepatutnya menutup pintu kepada mereka di luar Pulau Pinang, khususnya orang yang mampu menyumbang serta menambah nilai untuk PHC.

“Anthony adalah satu-satunya wakil dari luar Pulau Pinang yang menjadi pengarah selain tiga pengarah dari agensi Kerajaan Persekutuan yang kesemuanya dari luar Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera menambah, oleh kerana PHC berhasrat menjadikan destinasinya sebagai tumpuan pelancongan utama Malaysia, tentunya PHC akan mendapat hasil melalui hubungan, pengalaman dan pandangan Anthony yang turut memegang portfolio pelancongan DAP di Parlimen.

Seperti negeri-negeri lain termasuk Selangor, katanya, kerajaan negeri melantik ramai pemimpin-pemimpin dari luar negeri itu untuk menganggotai syarikat GLC mereka berdasarkan berdasarkan pengalaman dan perspektif yang berbeza.

Zairil yang juga Pembantu Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP berkata demikian bagi menjawab persoalan yang timbul berikutan pelantikan ahli lembaga pengarah GLC yang bukan berasal dari Pulau Pinang.

Beliau turut menjelaskan bahawa di Pulau Pinang, parti komponen Pakatan Harapan, iaitu PKR diberi 30 jawatan pengarah GLC berbanding hanya lima yang diberikan oleh kerajaan negeri Selangor kepada wakil DAP.

Daripada 30 jawatan untuk PKR itu, katanya, ia termasuk jawatan Pengerusi untuk dua GLC Negeri Pulau Pinang.

“Dalam kes Anthony, pelantikan beliau dibuat dalam keadaan di mana dua Adun PKR ditamatkan perkhidmatan mereka daripada tiga lembaga GLC Pulau Pinang, termasuk Adun Kebun Bunga, Cheah Kah Peng, yang ditamatkan khidmat dari PHC.

“Keputusan ini telah dikritik sebagai tindakan balas tetapi seperti yang telah berkali-kali dijelaskan, tindakan diambil terhadap mereka (Adun PKR) bukan kerana mereka bertindak menentang pendirian kerajaan negeri tetapi kerana mereka telah khianati perjanjian yang telah dibuat dalam mesyuarat pra-majlis Pakatan Harapan yang bersetuju sebulat suara untuk menolak satu usul daripada Adun BN,” jelas beliau.

Menurut Zairil, setiap Adun PH diberi peluang untuk menyuarakan pandangan atau bantahan, namun tidak seorang pun Adun PKR berbuat demikian.

Malah, katanya, mereka tidak membahas atau membangkitkan sebarang isu tentang usul BN tersebut dalam sidang Dewan Undangan Negeri, atau memberitahu tiga Exco Kerajaan Negeri dari PKR untuk tidak menyokong kerajaan negeri Pulau Pinang berhubung usul tersebut.

“Jadi, tindakan mereka yang tidak melanggar keputusan mesyuarat pra-majlis adalah perbuatan khianat, dan tindakan telah diambil terhadap dua Adun tersebut,” ujar beliau. – Roketkini.com