Berita

Rakyat diajak sertai himpunan mansuh GST di KL pada 2 April

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Satu perhimpunan aman Perhimpunan Mansuh GST akan diadakan pada 2 April depan di ibu kota untuk menyampaikan mesej keperitan dan kesengsaraan hidup akibat salah tadbir ekonomi negara.

Perhimpunan itu juga akan diadakan sempena setahun selepas rakyat Malaysia dibebankan dengan cukai barangan dan perkhidmatan GST.

Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam satu kenyataan hari ini tidak mahu perkembangan politik semasa menenggelamkan isu sebenar, iaitu kos sara hidup yang meningkat ekoran daripada pelaksanaan dasar yang tidak memihak kepada rakyat.

“Isu-isu seperti penghapusan GST, pembiayaan pendidikan yang munasabah, menghentikan kenaikan cukai, levi dan yuran yang dikenakan kerajaan dan kenaikan tarif perlu terus diperjuangkan.

“Pakatan Harapan juga akan menganjurkan perhimpunan Muafakat Selamat Malaysia di setiap negeri bermula bulan ini untuk memberi pentas kepada semua pihak dan aktivis menggembleng sokongan rakyat menuntut Dato’ Seri Najib Tun Razak meletak jawatan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan tersebut ditandatangani oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu; dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Menurut kenyataan itu lagi, Mohamad Sabu telah diberi amanah untuk mengetuai jawatankuasa penganjur kedua-dua Perhimpunan Mansuh GST dan semua perhimpunan Muafakat Selamat Malaysia.

Dalam pada itu, pucuk pimpinan Pakatan Harapan menyokong penuh usaha para pemimpin pembangkang secara individu yang telah menandatangani Deklarasi Rakyat bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dan kumpulan-kumpulan NGO pada 4 Mac lalu.

“Deklarasi Rakyat yang ditandatangani oleh tokoh-tokoh yang merentasi batasan politik termasuk Tun Mahathir Mohamad dan pimpinan Pakatan Harapan dan pembangkang yang lain adalah pengakuan tokoh-tokoh pimpinan UMNO-Barisan Nasional sendiri bahawa institusi-institusi kerajaan telah dirosakkan oleh pentadbiran UMNO-Barisan Nasional,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, pengakuan Mahathir tidak seharusnya mencerminkan hala tuju sebenar Pakatan Harapan dan prinsip yang dipegang gabungan itu selama ini berhubung bentuk reformasi, undang-undang, politik, media, ekonomi, kewangan, pendidikan dan sosial.

Malah, kenyataan itu menambah, pengakuan Mahathir adalah satu penerimaan secara tidak langsung bahawa institusi kerajaan yang tidak bebas itu telah memangsakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjarakan semata-mata kerana beliau dianggap sebagai ancaman kepada Najib.

Justeru, Pakatan Harapan menetapkan bahawa agenda membebaskan Anwar akan menjadi agenda utama seiring dengan agenda reformasi yang lain demi menyelamatkan negara daripada terus dimusnahkan.

“Strategi tiga serampang ini – menuntut reformasi institusi, membebaskan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan menuntut Dato’ Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan – akan digerakkan secara bersepadu oleh Pakatan Harapan dalam kempen kami di seluruh negara,” kata kenyataan itu. – Roketkini.com