Rencana

Deklarasi Rakyat untuk hentikan Najib dari terus rosakkan negara

Berikutan Deklarasi Rakyat pada 4 Mac 2016, beberapa kritikan telah ditujukan kepada peminpin Pakatan Harapan terutamanya Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang. Kritikan-kritikan tersebut termasuklah mengapa beliau sanggup bekerjasama dengan seorang yang dilabelkan sebagai bapa kepada kerosakan sistem pentadbiran negara ini, Tun Mahathir.

Kerjasama untuk menjatuhkan Najib ini dipersoal dengan pelbagai persoalan lain. Antaranya, siapa yang akan menjadi Perdana Menteri menggantikan Najib? Saya setuju bahawa menggantikan Najib dengan seseorang dari UMNO seolah-olah menggantikan seorang lanun dengan seorang perompak. Walau bagaimanapun, kita sebagai warganegara Malaysia yang mencintai tanah air kita ini harus memahami bahawa Najib telah menyebabkan kemerosotan yang teruk kepada negara kita dari pelbagai segi.

Saya bersetuju bahawa hanya dengan reformasi yang menyeluruh mampu membawa perubahan kepada negara kita. Malah, misi utama semua rakyat Malaysia adalah mendesak Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia supaya tidak lagi terus merosakkan negara ini.

Sekiranya permintaan yang datang dari majoriti rakyat jelata dan disampaikan melalui Deklarasi Rakyat ini dianggap tidak adil oleh ahli-ahli UMNO, maka Najib harus memberi jawapan yang memuaskan terhadap beberapa tuduhan yang dilontarkan kepada beliau.

Penjelasan terperinci bagaimana ‘derma’ sebanyak RM2.6 bilion boleh di masukkan ke akaun peribadinya perlu dibuat. Jika perkara ini benar tiada apa-apa yang dilindungi sepertimana yang dikatakan Najib, maka mengapa pula siasatan PAC mengenai 1MDB diklasifikasi sebagai rahsia melalui OSA pada saat-saat akhir sebelum ia dikemukakan ke Parlimen?

Najib menegaskan bahawa beliau akan mendakwa Wall Street Journal (WSJ) di mahkamah apabila WSJ melaporkan sejumlah duit RM2.6 bilion didapati dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau. Tetapi sehingga kini, langsung tiada tindakan yang diambil. Ekonomi negara semakin meleset di bawah pimpinan Najib yang penuh dengan skandal.

Maka, sebagai anak Malaysia yang mencintai tanah air, kita harus menyokong gerakan Selamatkan Malaysia. Kita ketepikan segala dendam antara satu sama lain dan terus mendesak Najib meletak jawatan. Ini merupakan satu-satunya jalan penyelesaian jangka pendek bagi Selamatkan Malaysia.

 

*Penulis merupakan Adun Balakong