Berita

Laporan 1MDB diklasifikasi Rahsia Rasmi cabar kuasa Parlimen sebagai badan perundangan tertinggi

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Tindakan mengklasifikasi laporan akhir Ketua Audit Negara berhubung siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai dokumen rahsia rasmi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) sehingga ia dibentang di Parlimen, disifatkan sebagai menghina dan mencabar hak serta kebebasan Parlimen.

Ini adalah kerana Parlimen merupakan badan perundangan tertinggi dalam negara yang mendukung sistem demokrasi berparlimen seperti Malaysia, justeru kuasa dan kedudukannya tidak boleh dicabar oleh badan eksekutif.

Menganggap keadaan itu memalukan dan menyedihkan, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, dalam sistem Parlimen, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC), Datuk Hasan Arifin, yang sepatutnya memberi arahan kepada cabang eksekutif, dan bukan sebaliknya.

“Hasan (sebagai suara legislatif) perlu menegaskan kepada eksekutif bahawa klasifikasi dokumen itu sebagai rahsia rasmi sudah tamat Jumaat lalu apabila laporan akhir 1MDB itu dibentangkan kepada PAC, dan bukannya selepas pembentangan di Parlimen pada 7 April depan, atau mungkin pada akhir tahun.

“Sepatutnya, Pengerusi kepada Jawatankuasa Parlimen seperti PAC melindungi maruah dan kedudukan Parlimen dari gangguan cabang eksekutif, namun kita boleh lihat, beliau dengan naif mengikut arahan eksekutif yang menceroboh kuasa Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Hasan sebelum ini bahawa laporan audit akhir Ketua Audit Negara itu akan diklasifikasi sebagai dokumen rahsia rasmi bawah OSA sehingga ia dibentangkan di Dewan Rakyat nanti. Malah, badan eksekutif juga tidak membenarkan ahli PAC membawa pulang laporan akhir Ketua Audit Negara itu dan hanya boleh merujuk kepadanya di dalam bilik kebal Parlimen.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, tindakan badan eksekutif yang menghalang ahli PAC membaca dan memahami laporan itu di rumah juga merupakan satu penghinaan, dan ia perlu dihapuskan melalui satu pembentangan usul khas di parlimen.

“Mengapa tidak kunci saja Pengerusi dan ahli PAC di dalam bilik kebal itu, jika mereka hanya boleh membaca dan memahami laporan itu khas di sana?

“Sebelum ini, apabila Menteri mahu mengakses laporan diklasifikasi bawah OSA, adakah mereka dibenarkan membawa dokumen itu ke rumah atau pejabat untuk dibaca dan difahami, atau adakah mereka dikunci di bilik kebal Kabinet?” soalnya. – Roketkini.com