Berita

DAP mahu Selangor jadi contoh negeri mesra hak wanita

PETALING JAYA, 8 MAC: Kerajaan negeri Selangor boleh menjadi contoh terbaik dalam usaha pengupayaan golongan wanita negeri itu dengan menyediakan beberapa inisiatif termasuk pusat jagaan anak yang berkualiti, selamat dan berpatutan sebagai penghargaan dan pengukuhan kualiti hidup rakyat negeri ini.

Dalam satu kenyataan bersama Ketua Wanita DAP Selangor, Hannah Yeoh dan Setiausaha Organisasi Wanita DAP Selangor, Yeo Bee Yin, mereka berkata, sudah tiba masanya wanita khususnya golongan ibu yang bekerja diberi sokongan seperti pusat jagaan anak yang boleh dimulakan dengan penjawat awam negeri itu.

“Wanita DAP Selangor berharap wujudnya ruang tempat bekerja yang lebih mesra wanita di Selangor demi memanfaatkan tenaga kerja wanita yang terbaik yang boleh ditawarkan untuk penjanaan ekonomi negeri,” kata kenyataan itu.

Tiga cadangan Wanita DAP Selangor kepada kerajaan negeri ialah:

i) Memastikan semua bangunan milik kerajaan negeri Selangor dilengkapi dengan pusat jagaan kanak-kanak dan kemudahan pra-sekolah yang merupakan antara inti manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 di peringkat negeri;
ii) Menyediakan peruntukan tahunan melalui Bajet Negeri untuk membina atau menyediakan lebih banyak kemudahan penjagaan kanak-kanak di kawasan-kawasan kos rendah; dan
iii) Memastikan pewujudan ruang untuk kemudahan penjagaan kanak-kanak dalam pembangunan skim Rumah Selangorku yang akan datang

Penyedian ruang tempat kerja mesra wanita ini kata mereka amat penting kerana, merujuk kepada kajian yang dilakukan Ministry of Women, Family, and Community Development and the United Nations Development Program (UNDP), Selangor memiliki jumlah peratusan tertinggi wanita di tempat kerja selepas Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Kenyataan itu menyebut, dalam tempoh tujuh tahun lalu, Selangor telah mencapai beberapa tahap kemajuan dalam mempromosi dan memperjuangkan kebajikan wanita.

“Sebanyak 26 peratus Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor iaitu 15 dari 56 anggota terdiri dari kalangan wanita berbanding 10 peratus di Parlimen. Bagi DAP, lima dari 15 (33%) wakil rakyatnya di Selangor adalah wanita.

“Selangor juga merupakan negeri pertama yang memberikan cuti bersalin 90 hari. Kini, 10 dari 42 bangunan kerajaan negeri Selangor dilengkapi dengan pusat jagaan anak atau kemudahan pra-sekolah,” kata kenyataan tersebut.

Selain itu, Hannah yang juga Speaker DUN Selangor dan Bee Yin sebagai ADUN Damansara Utama berkata, kerajaan Selangor juga menyediakan beberapa bantuan subsidi kepada keluarga berpendapatan rendah di bawah RM2,500 seperti Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS) dan Skim Bantuan Asuhan Rakyat (Si Kembar).

“Kami berharap masih banyak ruang lagi boleh diberikan dan diperbaiki untuk kebajikan wanita di Selangor terutama dalam penjagaan anak-anak. Pada masa yang sama, kami maklum bahawa penjagaan kanak-kanak adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Kami percaya kita tak perlu menunggu bagi perlaksanaannya di peringkat persekutuan dan kita perlu lebih pro-aktif dan berfikiran maju kehadapan,” kata kenyataan itu. – Roketkini.com