Berita

Kit Siang minta polis siasat tiga individu buat laporan palsu terhadapnya

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Lim Kit Siang menggesa polis mengambil tindakan terhadap tiga individu yang membuat laporan palsu terhadapnya dengan menuduh beliau cuba menghasut orang ramai memperlekeh Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Parlimen DAP itu menyatakan tiga individu tersebut ialah Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, Mohd Shukry Roslan dan Mohammad Zahiddin yang membuat laporan dengan memberi maklumat palsu kepada polis, masing-masing di Sentul, Rawang dan Wangsa Maju.

Beliau berkata, pihak polis perlu bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih dan perlu menjalankan siasatan terhadap tiga individu itu atas kesalahan membuat laporan palsu bagi membuktikan pihak polis bebas, tidak berat sebelah, cekap dan profesional.

“Tiga individu itu telah melakukan kesalahan jenayah memberi maklumat palsu kepada polis dan mesti didakwa mengikut Seksyen 182 di bawah Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda RM2 ribu atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata demikian ketika mengulas tindakan tiga individu itu membuat laporan polis terhadap beliau, Presiden Parti Amanah Nasional, Mohammad Sabu, dan portal berita Malaysiakini, kononnya atas kesalahan menghasut yang tertakluk di bawah Akta Hasutan 1948.

Ia berikutan satu berita disiarkan di portal berita Malaysiakini bertajuk “K’jaan sediakan titah Agong, kata Kit Siang” semalam.

Menurut Kit Siang, laporan palsu dibuat tiga individu itu membuktikan bahawa Deklarasi Rakyat ditandatangani 58 pemimpin menuntut penyingkiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Jumaat lalu, telah merunsingkan kerajaan UMNO-BN apabila lebih ramai cybertrooper membuat fitnah terhadapnya.

“Jelas bahawa deklarasi itu telah memperhebat kempen pembohongan dan fitnah oleh cybertrooper UMNO BN dan memanjangkan senarai tuduhan palsu terhadap saya – daripada menyebabkan insiden 13 Mei, kononnya cuba mewujudkan negara Kristian di Malaysia, menerima derma RM1.2 bilion dari Israel dan menuduh Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi “tali barut” saya.

“Nampaknya selepas ini, cybertrooper UMNO BN akan mencuba sedaya-upaya untuk mencipta pelbagai jenis fitnah dan pembohongan terhadap saya dan pemimpin DAP yang lain,” katanya. – Roketkini.com