Berita

DAPSY pertahan lantikan Anthony Loke dalam GLC Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 9 MAC: Pelantikan individu tertentu ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di sesebuah negeri tidak harus terhad kepada anak kelahiran negeri terbabit, sebaliknya harus dipandang dari sudut kemahiran dan kecekapan dalam melaksanakan tugas.

Sehubungan itu, Setiausaha Publisiti Sosialis Muda DAP (DAPSY) Pulau Pinang, Wong Yuee Harng, membidas kenyataan Pemuda MCA yang mendakwa lantikan Anthony Loke Siew Fook sebagai Ahli Lembaga Pengarah Penang Hill Corporation (PHC) sebagai menghina anak-anak Pulau Pinang.

Sambil mempertahankan pelantikan Ahli Parlimen Seremban itu, Yuee Harng berkata, adalah wajar tugas dan jawatan itu diberikan kepada Anthony Loke yang selama ini banyak melakukan penyelidikan dan mempunyai pengetahuan yang luas berkaitan sektor pelancongan.

“Anthony Loke sering membahas isu kebudayaan, pelancongan dan komunikasi dalam Parlimen. Beliau sering memberi tumpuan dalam bidang pelancongan di Pulau Pinang.

“Justeru, pelantikan Anthony Loke sebagai ahli lembaga pengarah PHC merupakan satu langkah yang baik dan munasabah atas sebab beliau banyak menyelidik dalam bidang ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Malah, beliau berkata, jawatan yang disandang Anthony Loke itu tidak diberikan gaji, sekali gus tidak melibatkan kerugian kepada kerajaan, sebaliknya memberikan keuntungan kerana mempunyai bakat yang boleh digunakan untuk memajukan sektor pelancongan.

Oleh itu, Yuee Harng yang juga Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang berkata, MCA tidak patut menjadikan “orang luar” sebagai isu.

“Ingin DAPSY Pulau Pinang mengingatkan MCA bahawa Penang Port Commission dipengerusikan oleh Tan Sri Dr Chua Soi Lek…beliau bukan anak negeri Pulau Pinang tetapi berasal dari Johor.

“Pengerusi Perhubungan MCA Pulau Pinang yang baru, Ong Ka Chuan, juga bukan anak negeri Pulau Pinang.

“Adakah ini satu penghinaan terhadap kesemua ahli MCA Pulau Pinang, atau MCA Pulau Pinang tidak lagi mempunyai ahli yang berbakat bagi memimpin parti di negeri ini?” kata beliau. – Roketkini.com