Berita

Mengapa bajet wanita dipotong, pekerja asing diberi subsidi, soal DAP

KUALA LUMPUR, 8 MAC: DAP mempersoalkan dasar kerajaan Barisan Nasional yang mengurangkan bajet untuk golongan wanita, sebaliknya sanggup memberi subsidi tidak langsung kepada majikan swasta untuk pengambilan pekerja asing.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong, berkata tindakan kerajaan melalui dasar berkaitan pekerja asing memberi subsidi RM16,000 setahun bagi setiap pekerja asing yang digajikan majikan.

“Ia bermakna, mengikut jumlah 2.1 juta pekerja asing yang mempunyai dokumen yang sah di negara ini, kerajaan kini memberi subsidi kepada sektor swasta sebanyak RM33.6 bilion setahun semata-mata untuk mengaji pekerja asing.

“Memang subsidi ini berbentuk tidak langsung, namun lebih baik jika kerajaan menyalurkan subsidi tersebut untuk mengembangkan lagi tenaga kerja tempatan, supaya rakyat tempatan diberi pekerjaan dahulu, perempuan dan lelaki,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Wanita Sedunia hari ini.

Beliau menjelaskan fakta tentang subsidi itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, di mana diakui bahawa dasar pekerja asing di Malaysia turut melibatkan subsidi kepada majikan yang menggajikan mereka.

Bagi memastikan tenaga kerja wanita Malaysia tidak dianaktirikan melalui dasar pekerja asing, Steven yang juga Timbalan Jurucakap DAP Mengenai Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mencadangkan supaya insentif diberikan kepada majikan yang menggalakkan penglibatan wanita dalam bidang pekerjaan.

“Kerajaan Persekutuan harus mengotakan janjinya untuk memperkasakan wanita dalam bidang ekonomi bukan dengan retorik tetapi dengan tindakan.

“Ia bermakna dasar yang bersifat mesra keluarga dan wanita seperti perkhidmatan penjagaan kanak-kanak, keselamatan sosial yang lebih baik termasuk suri rumah, undang-undang diskriminasi anti-gender, dasar penyeimbangan antara kerja dan kehidupan dan sebagainya perlu dilaksanakan segera.

“Justeru, subsidi RM33.6 bilion untuk pekerja asing itu seharusnya disalurkan untuk menggalakkan dan menyediakan mekanisme bantuan terhadap pembangunan wanita,” katanya.

Steven menjelaskan bahawa amalan kerajaan BN melanggar janjinya sendiri apabila memotong bajet Kementerian Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat sebanyak 10 peratus atau RM2000 juta.

Sedangkan Pejabat Perdana Menteri mendapat ditambah peruntukan sebanyak RM1.1 bilion, tambah beliau.

Lebih buruk lagi, katanya, bajet bidang kritikal yang membabitkan program kesihatan wanita dihapuskan sama sekali manakala program berkaitan pembangunan wanita dikurangkan peruntukan 10 peratus.

“Malah, bajet untuk Institut Pengupayaan Wanita bagi Anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NIEW) di bawah seliaan kementerian wanita juga dikenakan pemotongan sebanyak 33 peratus,” ujarnya.

Menurutnya, jelas bahawa keutamaan kerajaan BN terhadap pemerkasaan dan pemberdayaan wanita tidak kena pada tempatnya, dan perlu dibaiki secepat mungkin. – Roketkini.com