Berita

Dua tahun tamat pengajian tapi belum dapat diploma kemahiran

KUALA LUMPUR, 9 MAC: DAP mahu pihak berkuasa campur tangan dalam kes dua mahasiswa di kolej swasta yang masih tidak menerima sijil walaupun sudah menamatkan pengajian.

Ahli Parlimen Batu Gajah, Sivakumar Varatharaju, yang ditemui dua mahasiswa itu berkata pihak kolej terbabit yang beroperasi di Shah Alam itu tidak memberikan alasan yang memuaskan, malah disifatkannya sebagai tidak masuk akal.

“Saya juga telah menghubungi kolej tersebut sebanyak dua kali tetapi tidak menerima apa-apa jawapan yang positif. Adakah pelajar ini telah menjadi mangsa penipuan pihak-pihak tertentu?

“Pihak kolej juga telah menghantar satu pesanan Whatsapp mengatakan bahawa pihak Jabatan Pembangunan Kemahiran telah kehabisan kertas sijil dan belum mendapat stok baru dari pihak pembekal. Ini adalah satu alasan yang memang tidak masuk akal,” katanya dalam satu kenyataan.

Dua mahasiswa berkenaan, Sridaran Rajan dan Mohonraj Krishan yang menamatkan pengajian dalam bidang Teknologi Mekatronik di sebuah kolej swasta yang beroperasi di Kota Kemuning, Shah Alam pada 17 Februari 2014, namun sehingga kini tidak diberikan sebarang sijil.

Menambah rasa kesal yang ditanggung mahasiswa berkenaan, Sivakumar berkata, kedua-dua lepasan sijil Kemahiran Malaysia itu juga terpaksa membayar semula pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) berserta kadar faedah.

“Dalam kes dua bekas pelajar itu, mereka terpaksa membayar balik pinjaman lebih RM25,000 dengan kadar faedah lima peratus.

“Ini adalah tidak adil. Mereka masih tidak menerima sijil diploma tetapi terpaksa membayar hutang setiap bulan. Sudah dua tahun berlalu tetapi tidak ada apa-apa perkembangan daripada pihak kolej mahupun pihak kementerian,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, tindakan seumpama itu membuktikan kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia hanya menawarkan dan memberikan pengiktirafan kepada institusi pengajian swasta tanpa mengambil peduli atau memantau perjalanan kolej-kolej berkenaan. – Roketkini.com