Berita

Dua IPT dikecam kerana larang pendebat muda berucap di universiti

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Sosialis Muda DAP (DAPSY) Kebangsaan mengecam tindakan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menghalang pendebat muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada berucap di majlis mereka.

Ketua DAPSY, Wong Kah Woh, berkata institusi pengajian tinggi sepatutnya bersikap lebih terbuka kepada perbincangan akademik, termasuk hal berkaitan politik, kerana ia akan membantu mahasiswa lebih memahami hal-ehwal negara hari ini.

“Seringkali berlaku pihak universiti bersikap takut serta tidak terbuka kepada idea-idea baru dan lebih progresif. Ia merupakan punca utama ramai individu yang dianggap “berbahaya” disekat daripada berucap di majlis mereka.

“Mereka harus sedar, tindakan tersebut tidak berjaya menghalang mahasiswa daripada mengambil tahu hal politik negara memandangkan anak muda hari ini terdedah kepada internet, khususnya media sosial yang semakin kerap membincangkan isu itu,” katanya kepada Roketkini.

Adun Canning itu mengulas kenyataan Syed Saddiq yang mendakwa disekat daripada berucap di dua universiti berkenaan atas alasan ditakuti membawa provokasi luaran selepas beliau menandatangani Deklarasi Rakyat yang menuntut penyingkiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada Jumaat lalu.

Menurut Kah Woh, DAPSY berpendirian tegas dalam menyokong dan menuntut hak kebebasan bersuara serta memberi pendapat di negara ini, khususnya di kalangan mahasiswa, malah melakukan pelbagai usaha mencambah budaya itu dalam masyarakat.

“DAPSY sentiasa menganjurkan program forum dan dialog membincangkan pelbagai topik bagi memupuk keberanian dalam diri anak muda serta meraikan keterbukaan idea di kalangan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyifatkan tindakan UNITEN dan USIM itu satu “tanda” jelas bahawa kerajaan UMNO-BN semakin panik dengan Deklarasi Rakyat ditandatangani pemimpin dari pelbagai latar belakang politik, kaum dan agama yang menuntut pengunduran Najib dan reformasi institusi kerajaan baru-baru ini.

Beliau turut menyelar kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh bahawa universiti mempunyai autonomi membenarkan atau menghalang mana-mana individu daripada mengambil bahagian dalam program dianjurkan di situ.

“Saya yakin Idris tidak akan berkata demikian jika beliau atau Perdana Menteri yang disekat berucap di universiti berkenaan.

“Beliau harus menghantar mesej jelas kepada semua universiti awam bahawa mereka mempunyai autonomi untuk tidak mengharamkan Syed Saddiq daripada bercakap di majlis universiti.

“Adakah Idris akan melakukan perkara itu dan menggesa dua universiti berkenaan membatalkan pengharaman tersebut?” soalnya. – Roketkini.com