Berita

Ketua DAPSY Perak Howard Lee terajui badan politik anak muda terbesar di dunia

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Setiausaha Biro Antarabangsa Sosialis Muda DAP (DAPSY) Kebangsaan, Howard Lee Chuan How, telah menang tanpa bertanding sebagai Presiden Kesatuan Sosialis Muda Antarabangsa (IUSY), sebuah organisasi politik anak muda yang terbesar di dunia.

Dalam perutusan tahniah Jawatankuasa Pusat DAP (CEC), Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata pimpinan parti bangga dengan kemenangan Howard yang juga Adun Pasir Pinji dan Ketua DAPSY Perak, untuk menerajui pertubuhan global itu yang mempunyai 134 anggota mewakili parti dan organisasi sosial demokrasi dari 80 negara.

“Howard Lee adalah pemimpin muda dari Asia Tenggara yang pertama dipilih untuk jawatan tersebut. Ini adalah jawatan tertinggi yang pernah disandang oleh DAPSY, dan kami menganggapnya sebagai ‘hadiah’ kepada DAP yang akan menyambut ulangtahun ke-50 pada 18 Mac ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Howard telah menerima pengesahan jawatannya di Tirana, Albania pada 28 Februari lalu. Pimpinan DAP melalui CEC pula telah merakamkan ucapan tahniah kepada beliau dalam satu mesyuarat di sini awal minggu ini.

Menurut Guan Eng, Howard telah berjaya meyakinkan semua ahli IUSY melalui usaha beliau mempromosi nilai-nilai sosial demokrasi yang dapat memastikan pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran untuk semua, dan bukan untuk segelintir kumpulan tertentu.

Pulau Pinang pimpinan Pakatan Harapan yang diterajui DAP pula telah membuktikan kejayaan nilai sosial demokrasi yang tidak semestinya bertentangan dengan ekonomi pasaran kerana rakyat telah mendapat manfaat umum termasuk bekalan dan perumahan yang dijaga oleh kerajaan, tambah beliau yang juga merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang.

“IUSY ditubuhkan lebih seabad yang lalu pada 24 Ogos 1907 dengan bermatlamat untuk mengamal dan mempertahankan idealisme sosial demokrasi.

“Kami berharap peranan baru (Howard Lee) akan merapatkan hubungan dan jalinan antarabangsa ke arah pemerintahan dan pentadbiran yang lebih inovatif dan progresif bagi menghadapi cabaran semasa dan cabaran akan datang,” tambah beliau. – Roketini.com