Berita

Anggap GST tak bebankan rakyat: Pemimpin UMNO sombong, tak faham penderitaan rakyat

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Kalangan pemimpin UMNO-Barisan Nasional yang mendakwa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak membebankan rakyat adalah mereka yang sombong, angkuh dan tidak memahami penderitaan rakyat.

Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan, Lim Lip Eng, menyelar kenyataan Ahli Parlimen Bagan Serai, Noor Azmi Ghazali, yang mengatakan kononnya isu GST sengaja dibangkitkan pembangkang untuk memburuk-burukkan kerajaan BN.

Katanya, kenyataan Azmi itu terlalu dangkal dan tidak faham kesempitan hidup yang dirasai 80 peratus rakyat Malaysia akibat pelaksanaan cukai tersebut sejak tahun lalu yang memaksa setiap rakyat di negara ini membayar cukai setiap hari.

“Sungguh tidak masuk akal apabila Azmi menjadikan contoh kesesakan di lebuh raya dan aktiviti pelancongan termasuk umrah di kalangan rakyat sebagai bukti GST tidak membebankan.

“Kita boleh lihat jalan raya di negara-negara kurang maju seperti Indonesia dan Filipina juga sesak, malah, lebih sesak dari di negara ini. Adakah itu petanda bahawa rakyat mereka tidak mengalami kesempitan hidup?” katanya kepada Roketkini.

Beliau mengulas kenyataan wakil rakyat UMNO itu yang mahu menunjukkan kebijaksanaan berfikir dengan mendakwa kesesakan di lebuh raya dan aktiviti melancong orang ramai ke luar negara termasuk menunaikan umrah sebagai bukti GST tidak membebankan rakyat.

Lip Eng yang juga Ahli Parlimen Segambut berkata, aktiviti pelancongan seperti didakwa Azmi itu kebanyakannya hanya dinikmati golongan kaya sahaja.

“Yang mampu pergi makan angin itu hanyalah mereka dari kelas atasan dan segelintir dari kelas pertengahan, tetapi Azmi perlu ingat, yang paling terkesan dengan GST merupakan golongan bawahan.

“Saya mahu ajak Azmi pergi ke Kampung Baru di Kuala Lumpur ini bersama-sama dengan saya. Kita pergi melawat dan lihat bagaimana kehidupan rakyat di sana. Mereka sendiri mengeluh bagaimana GST sangat membebankan hidup mereka,” katanya.

Beliau turut mencabar Azmi menjadikan kata-katanya serta mengekalkan GST sebagai manifestonya pada pilihan raya umum ke-14 akan datang jika ahli parlimen BN itu benar-benar merasakan ia tidak membebankan rakyat.

“Biar beliau lihat sendiri bagaimana reaksi rakyat. Mungkin di kawasan beliau, ada ramai golongan kaya dan hidup mewah serta mahukan GST,” katanya. – Roketkini.com