Berita

Malaysia menuju negara maju 2020 tapi Sabah masih dunia ketiga

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Pembahagian kekayaan negara yang tidak seimbang di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung dilihat sebagai salah satu punca Sabah mencatatkan statistik antara kemiskinan tertinggi di Malaysia.

Keadaan bertambah buruk dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tahun lalu yang telah menyebabkan kenaikan mendadak harga barangan keperluan pengguna seluruh negara.

Untuk memastikan kemiskinan di Sabah khususnya masyarakat Orang Asal negeri itu diatasi segera, Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fatt, berkata kerajaan harus memberi lebih peruntukan pembangunannya ke atas Sabah untuk menyeimbangkan kedudukannya sebagai rakan kongsi saksama dalam Persekutuan Malaysia.

“Sabah negeri kita kaya dengan sumber asli, tetapi pembangunannya amat tidak seimbang, masih ramai miskin. Apa yang menyedihkan saya,

“Orang Asal di Sabah yang berstatus Bumiputera tapi masih ramai yang hidup seperti warganegara kelas kedua,” katanya membahas titah Agong di Dewan Rakyat semalam.

Merujuk kepada laporan Millennium Development Goal Report yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ahli Parlimen Sandakan itu menyatakan terdapat 34 peratus Orang Asal Sabah hidup di bawah taraf kemiskinan.

“Laporan ini juga sekali mengulangi Sabah merupakan antara negeri paling miskin di Malaysia dengan kadar kemiskinan mencecah 8.1 peratus.

“Menurut statistik kementerian, golongan pekerja di Sabah pula mempunyai gaji yang paling rendah berbanding tempat-tempat lain di Malaysia.

“Pendapatan median hanya RM910 pada tahun 2012, ini bermakna separuh golongan pekerja mendapat kurang daripada RM910 sebulan. Jika dibandingkan dengan Kuala Lumpur atau Selangor, median pendapatan iaitu RM2,000 dan tidak sampai separuh dari pendapatan pekerja di Sabah,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata ia menyebabkan Sabah masih jauh untuk mencapai status negeri maju merujuk kepada GDP per kapita bagi Sabah dijangka hanya USD27,496 berbanding standard negara maju iaitu USD50,000 per kapita.

“Masih banyak kawasan luar bandar tidak mempunyai kemudahan bekalan air terawat dan elektrik, akses jalan, kemudahan elektrik dan sebagainya.

“Walaupun kononnya kita akan mencapai negara maju pada 2020, hakikatnya Sabah masih ketinggalan seperti negara dunia ketiga,” ujarnya.-Roketkini.com