Berita

Wajarkah Johor terus tumpu pembangunan hartanah dan industri petroleum?

SENAI, 10 MAC: DAP Johor mempersoal rancangan kerajaan Persekutuan untuk memberi tumpuan utama terhadap pembangunan hartanah dan industri petroleum dalam Pelan Pertumbuhan Strategik Negeri Johor sedangkan pelbagai sektor lain perlu difokuskan.

Setiausaha Publisitinya, Wong Shu Qi, berkata empat projek mega dirancang bagi memacu ekonomi negeri itu ialah projek kereta api laju KL-Singapura, Forest City, Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) dan projek landasan berkembar elektrik Gemas-Johor Bahru.

“Daripada empat projek berkenaan, tiga daripadanya menimbulkan keraguan dan tidak akan membawa manfaat besar kepada ekonomi negeri buat masa ini.

“Lebih baik jika ia memfokus kepada kluster elektrik dan elektronik (E&E) sedia ada di Johor Bahru, membangunkan industri perabot di Muar serta menaik taraf industri pemprosesan komoditi berasaskan pertanian yang mempunyai nilai tambahan lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Adun Senai itu berkata, projek kereta api laju KL-Singapura patut dihentikan seperti cadangan Pakatan Harapan (PH) dalam bajet alternatif 2016 sebelum ini berikutan situasi ekonomi negara sedang tidak menentu.

“Daripada membina satu lagi ‘mainan’ yang hanya menguntungkan Kuala Lumpur dan Singapura, lebih baik wang itu digunakan bagi membina rangkaian kereta api dari Kuching ke Tawau yang diperlukan oleh rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya.

Selain projek itu, kata Shu Qi, Forest City turut mengundang keraguan rakyat berikutan projek hartanah berkenaan tidak sesuai dibangunkan buat masa ini serta tidak termasuk dalam pelan Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia pada peringkat awal.

“Tidak dapat dinafikan, ia merupakan satu lagi pembangunan hartanah berkala besar di kawasan Johor Bahru. Namun, perlu diingat bahawa berlaku lebihan penawaran hartanah berbanding permintaan di situ.

“Malah, ledakan pasaran hartanah di rantau Asia Pasifik kini memasuki tempoh penyejukan selepas QE4 kerajaan Amerika Syarikat tirus pada 2015.

“Justeru, tidak ada sebab bagi kerajaan memberi tumpuan besar-besaran kepada pembangunan hartanah pada masa ini melainkan mereka mempunyai agenda lain,” katanya.
Beliau turut menyifatkan projek PIPC tidak wajar diteruskan kerana harga minyak global yang masih rendah, justeru berpendapat, kerajaan hanya meneruskan pelan pembangunan besar-besaran Pengerang itu tanpa mengambil kira kesesuaiannya dalam keadaan ekonomi hari ini.

“Satu-satunya projek dijangka membawa manfaat segera kepada rakyat Johor adalah projek landasan berkembar elektrik Gemas-Johor Bahru. Projek itu juga sudah lama tertangguh dan sepatutnya siap pada tahun 2008, namun ia baru bermula,” katanya. – Roketkini.com