Berita

Kurangnya sabitan kes keganasan rumah tangga punca mangsa tak buat laporan polis

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Salah satu punca mangsa keganasan rumah tangga tidak berminat untuk membuat laporan polis terhadap pelaku adalah kerana kurangnya sabitan kesalahan terhadap mereka di mahkamah.

Malah, kebanyakan kes yang dilaporkan sebagai pelaku dera pula biasanya dibebaskan tanpa sebarang pendakwaan dan hukuman di mahkamah, kata Setiausaha Wanita DAP Kebangsaan, Teo Nie Ching.

Katanya, statistik yang diberikan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Masir Anak Kujat, menunjukkan bahawa kadar sabitan kesalahan bagi kes keganasan rumah tangga adalah sangat rendah walaupun wujud peningkatan kes.

Ahli Parlimen Kulai itu merujuk statistik kes pada tahun 2014 dan 2015 berhubung jumlah kes dan sabitan terhadap kesalahan berkenaan di mahkamah.

Pada tahun 2014, sebanyak 1,462 kes dibawa ke mahkamah, jumlahnya berkurang kepada 1,440 pada 2015.

Dari kedua-dua tahun ini, sebanyak 358 tertuduh dijatuhkan hukuman pada 2014 manakala 145 tertuduh dijatuhkan hukuman pada 2015.

Sebaliknya, berbanding kes di bawah Akta Kanak-Kanak 2001, sebanyak 85 peratus dari 4,730 kesalahan di bawah akta itu dijatuhi hukuman.

“Kita dapat lihat wujud perbezaan ketara antara kesalahan di bawah akta kanak-kanak dan keganasan rumah tangga,” kata Nie Ching.

Tambah beliau, dalam jawapan parlimen yang diberikan, kes melibatkan keganasan rumah tangga pada tahun 2010 ialah 3,173 meningkat mendadak kepada 5,014 kes pada 2015, mencatatkan sebanyak 58 peratus kenaikan.

“Kadar sabitan kesalahan yang rendah ini sudah pasti tidak menggalakkan mangsa membuat laporan polis kerana kemungkinan besar pesalah akan dilepaskan, malah tidak akan didakwa di mahkamah.

“Keadaan ini perlu diperbaiki segera kerana ia memberi gambaran seolah-olah memberi lesen kepada pendera untuk mengganas di rumah,” ujar beliau. – Roketkini.com