Berita

Orang Asal Pahang terus jadi mangsa syarikat kroni ceroboh Tanah Adat

BERA, 10 MAC: Keperitan hidup yang terpaksa ditanggung kira-kira 200 keluarga Orang Asal Kampung Lubuk Perah di sini tiada hentinya apabila 900 ekar lagi tanah adat mereka terus diceroboh oleh syarikat balak yang didakwa mendapat restu kerajaan Barisan Nasional di Pahang.

Sejak pencerobohan tanah adat kawasan berkenaan bermula pada tahun 2014, penduduk terpaksa menanggung kerugian ratusan ribu ringgit akibat kemusnahan kawasan rayau dan tanaman yang diusahakan mereka.

Print

Laporan polis yang dibuat Tok Batin Kampung Lubuk Perah, Hajemi bin Din, menyatakan, kontraktor Sri Jengka Sdn Bhd telah sekali lagi menceroboh Tanah Adat dan Wilayah Adat mereka, selepas laporan polis dilakukan terhadap syarikat terbabit pada 30 Julai 2015 lalu.

Kontroversi rampasan tanah Orang Asal ini bermula sejak tahun 2014 lalu dengan pemusnahan tiga hektar tanaman getah penduduk tempatan termasuk pencerobohan 265.45 hektar tanah adat oleh sebuah syarikat kontraktor IRAWI Holding Sdn. Bhd.

Naib Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, yang melawat kampung berkenaan berkata, beliau difahamkan syarikat Sri Jengka Sdn Bhd mendakwa telah mendapat kebenaran meneroka kawasan tersebut pada awal bulan Mei 2014 tetapi tiada kelulusan hitam putih daripada kerajaan Pahang.

“Selepas setahun, dalam bulan Januari atau Februari 2015, mereka dakwa sudah dapat geran dari kerajaan Pahang, dan tidak wujud sebarang rundingan terbuka antara penduduk kampung dan syarikat berkenaan kecuali beberapa orang yang dipanggil,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pahang berkata, dalam perkara terbabit, kerajaan negeri banyak lepas tangan untuk menyelesaikan masalah penduduk di situ meskipun telah dibawa kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

“Yang terbaru, penduduk dijanjikan oleh Ahli Parlimen Bera, Datuk Ismail Sabri, sendiri untuk selesaikan masalah ini tetapi tiada apa tindakan dari pihaknya,” ujarnya.

Meskipun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berasal dari Pahang dan masih Ahli Parlimen Pekan, Pahang, beliau berkata, banyak isu melibatkan pemusnahan dan pencerobohan alam sekitar tidak mampu diselesaikan oleh kerajaan.

“Perdana Menteri sebagai anak jati Pahang tak banyak membantu. Ini termasuklah Isu Lynas , sianida Bukit Koman dan yang terbaru isu bauksit di Kuantan,” ujarnya.

Kampung Lubuk Perah didiami oleh masyarakat Orang Asal suku Semelai yang dipercayai telah menetap di kawasan tersebut sekitar 200 tahun lalu. – Roketkini.com


Print