Berita

Guan Eng: Wanita pemacu ekonomi, jangan halang mereka bekerja

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Kedudukan wanita dan lelaki dalam pembangunan sosial adalah sama, dan dengan itu peranan wanita harus dipandang dengan lebih hormat, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Menurutnya, kedudukan wanita dalam sistem sosial tidak harus dilihat dari perspektif sempit semata-mata, sebaliknya perlu diperluas dengan menggalakkan mereka menceburi pelbagai sektor pekerjaan.

Beliau menambah, sikap sesetengah orang yang suka menyalahkan wanita sebagai punca perceraian dan perbalahan rumah tangga adalah sesuatu yang tidak wajar dan menghina wanita.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan membidas kenyataan Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri, yang dilaporkan media sebagai berkata bahawa wanita patut duduk di rumah sahaja sebagai isteri dan ibu, kerana jika kedua-dua suami dan isteri berkerja, ia menjadi salah satu punca perceraian.

Media memetik Khairuddin sebagai berkata, “…adalah wajar institusi kekeluargaan dipulihkan semula, termasuk menyediakan ruang yang selesa bagi pasangan, terutamanya para isteri supaya mereka boleh melaksanakan tugas utama mereka di rumah sebagai suri rumah dan juga ibu”.

Menurut Guan Eng, kenyataan seumpama itu adalah keterlaluan, seksis dan feudal, dan mengenepikan peranan wanita dengan menafikan hak asasi dan sama rata mereka untuk mencapai potensi yang kehendaki mereka sebagai manusia.

Memetik laporan agensi antarabangsa McKinsey and Co, beliau berkata, secara global, jika golongan wanita diberi peluang untuk bekerja di dalam pelbagai sektor, ia akan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia sebanyak 26 peratus atau US$28 trilion menjelang 2025.

Justeru, katanya, adalah penting untuk meningkatkan peratusan penglibatan wanita dalam sektor pekerjaan di negara ini dari kadar purata 55 peratus bagi memacu Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi kelak.

“Di Malaysia, penglibatan wanita dalam pekerjaan adalah 52.4 peratus pada 2013, yang mana lebih rendah berbanding purata global, iaitu 55 peratus pada 2013.

“Untuk mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi, adalah amat membantu sekiranya penglibatan wanita dalam sektor pekerja ditingkatkan kepada lebih 65 peratus,” ujarnya.

Oleh demikian, tegas Guan Eng, golongan wanita tidak seharusnya dilihat hanya duduk di rumah dan menjadi suri rumah dan seorang ibu semata-mata, sebaliknya berhak untuk menceburi bidang pekerja bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.

“DAP percaya kedua-dua wanita dan lelaki adalah sama dalam membangunkan masyarakat secara keseluruhan.

“Dengan erti kata lain, kaum wanita dan lelaki bekerja bersama adalah penting dalam usaha kita untuk membina Malaysia yang cemerlang,” katanya. – Roketkini.com