Berita

Menteri Integriti kata dia tak tidur tapi dia tak buat apa-apa bila RM1.5 bilion dibelanja BN dalam PRU lalu

KOTA BHARU, 12 MAC: Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Paul Low Seng Kuan, bahawa beliau melaksanakan tugasnya dengan baik dan “tidak tidur” telah ditempelak Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Ia berikutan Paul Low tidak berkata atau berbuat apa-apa selepas Barisan Nasional didedahkan melanggar Akta Kesalahan Pilihanraya dalam pilihanraya umum lalu.

Justeru, Kit Siang mempersoalkan kenyataan Paul Low kononnya tidak culas dalam melaksanakan tugasnya sebagai Menteri Integriti sedangkan beliau sendiri tahu lebih  RM1.5 billion digunakan BN pada PRU lalu seperti yang didedahkan dua Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Dua Ahli MT yang mendedahkan permainan wang yang dilakukan BN itu adalah bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta disahkan lagi dengan kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

“Jika Paul Low tidak ‘tidur’ dalam melaksanakan tugasnya sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal integriti itu, dia sepatutnya menjadi orang yang paling patut risau dan marah di dalam negara ini bila mendapat tahu terdapat politik wang dan rasuah yang amat besar berlaku di negara ini.

“BN berbelanja besar dan melebihi paras had yang dibenarkan untuk perbelanjaan pilihanraya untuk semua 222 kerusi Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah veteran DAP itu lagi, sekiranya perkara sedemikian berlaku di sebuah negara lain, sudah pasti ia akan menggoncang keutuhan sebuah kerajaan, namun apa yang berlaku di Malaysia adalah sebaliknya.

“Tetapi di Malaysia, terdapat sikap tidak peduli di mana menteri yang dikhaskan untuk menjaga integriti dan pentadbiran yang baik seolah-olah tidak ambil tahu,” katanya sambil menyifatkan kenyataan Paul Low itu sebagai melucukan.

Kit Siang turut mengulangi desakan untuk meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya berundur daripada tampuk pemerintahan bagi menjernihkan semula imej negara dan memulihkan ekonomi yang sekian lama dimusnahkan pemimpin tertinggi itu. – Roketkini.com