Berita

BN langgar undang-undang belanja RM1.5 bilion dalam PRU13, SPR digesa siasat segera

PUTRAJAYA, 14 MAC: Pendedahan bahawa Barisan Nasional membelanjakan RM1.5 bilion dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu jelas merupakan kesalahan yang telah melanggar Seksyen 19(1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia perlu menyiasatnya segera.

Satu laporan telah dibuat kepada SPR di sini hari ini oleh Ahli Parlimen Rasah, Teo Kok Seong dan Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik, menuntut Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah menyiasat pendedahan menggemparkan itu. Surat yang diserahkan itu diterima oleh Pembantu Khas Pengerusi SPR, Mohd Shukur Khalid.

Gesaan siasatan itu dibuat berikutan pendedahan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang dilaporkan media baru-baru ini mendedahkan RM1.5 bilion telah dibelanjakan oleh BN dalam PRU13 dan disahkan pula oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

Menurut Wei Aik, jumlah perbelanjaan maksimum yang boleh dibenarkan bagi BN yang mengambil kira kemampuannya bertanding kesemua 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri, kecuali Sarawak, dalam PRU lalu adalah RM94.4 juta sahaja.

“RM1.5 bilion yang dibelanjakan BN itu telah lebih 15 kali ganda dari perbelanjaan yang dibenarkan,” katanya, meminta siasatan yang adil dan bebas dijalankan serta-merta ke atas BN termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang merupakan Pengerusi BN.

“Kelayakan semua wakil rakyat BN yang terpilih juga hendaklah dibatalkan atas ketidakpatuhan terhadap had perbelanjaan yang telah ditetapkan SPR.

“Semua calon BN yang bertanding dalam PRU ke-13 juga perlu disiasat serta diambil tindakan undang-undang atas kelakuan mereka yang membuat penyataan bersumpah palsu,” ujarnya.

Kok Seong pula berkata, satu siasatan yang menyeluruh amat perlu bagi menjamin keadilan dalam sistem pilihan raya Malaysia.

“Jila buat perbandingan, bajet bagi kerajaan Negeri Sembilan pun hanya lebih kurang RM400 juta. Tentu RM1.5 bilion boleh digunakan di Negeri Sembilan untuk empat tahun,” katanya, menyeru Pengerusi SPR memberi respon dalam tempoh tujuh hari laporan yang dibuat itu.- Roketkini.com